Ibu bayi positif dadah diberi jamin polis

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Razlam)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Razlam)
A
A
A

TAIPING - Ibu kepada bayi perempuan yang dikesan positif dadah ketika dirawat di Hospital Taiping di sini telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, jaminan diberikan kepada wanita berusia 22 tahun itu atas faktor anaknya yang masih memerlukan penjagaan ibu.

"Kita beri jamin memandangkan anaknya kerap menangis mahukan ibunya disisi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, wanita itu sebelum ini ditahan selepas mendapati bayinya positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

"Setakat ini, tiada tangkapan individu baharu dibuat. Siasatan kes masih dijalankan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Menurutnya, keadaan bayi berusia 22 bulan itu stabil, namun masih memerlukan penjagaan rapi pihak hospital.

Media pada Rabu melaporkan, kes berkenaan terbongkar selepas polis menerima laporan daripada pihak hospital.

Bayi itu dikatakan dihantar ke rumah nenek di Changkat Jering dan ketika mahu tidur, mangsa menangis serta menunjukkan tingkah laku yang tidak terkawal sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN:

Bayi perempuan 22 bulan positif dadah