Ketua polis daerah kena turun lapangan, bukan sekadar beri arahan

Mohd Shuhaily (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur membabitkan Pemangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji (kiri) kepada Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Azry Akmar Ayob. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Mohd Shuhaily (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur membabitkan Pemangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji (kiri) kepada Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Azry Akmar Ayob. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengarahkan semua ketua polis daerah di ibu kota supaya lebih banyak menjalankan tugas di lapangan bersama anak buah mereka.

Mohd Shuhaily berkata, langkah itu dapat memastikan setiap ketua polis daerah lebih memahami dan mendalami permasalahan yang berlaku di kawasan mereka sekali gus menambah baik proses penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

"Seorang ketua polis daerah di Kuala Lumpur tidak seharusnya sekadar memberi arahan," katanya dalam ucapan sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di sini, pada Isnin.

Mohd Shuhaily berkata, sepanjang tiga bulan beliau berkhidmat di Kuala Lumpur, banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki.

"Pada masa ini tanpa segan saya katakan kita (Polis KL) masih gagal dan akan terus gagal sekiranya masih belum berubah.

"Ini kerana masih ada sekelompok pegawai yang belum sedar keadaan di bawah (lapangan) dan keperluan untuk mengubah perkara yang tidak baik terutama dalam hal integriti," katanya.

Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur membabitkan Pemangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji kepada Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Azry Akmar Ayob.

Mohd Shuhaily berkata, selaras dengan visi dan misinya sejak hari pertama memulakan tugas Ketua Polis Kuala Lumpur, beliau tidak mahu ada lagi ketua polis daerah yang hanya memberikan arahan dan mereka perlu bersama-sama anak buah untuk melaksanakan visi Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain.

"Berdasarkan visi dan misi Razarudin adalah memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat serta menjaga integriti dalam melaksanakan tugas supaya tidak terbabit dalam perkara-perkara yang boleh menjejaskan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," tegasnya.

Beliau berkata, Bukit Aman kini dalam proses mengenal pasti mana-mana pegawainya yang menjalani kehidupan di luar kemampuan masing-masing.

"Sekiranya masih ada pegawai atau anggota Polis Kuala Lumpur yang melakukan sebarang perkara di luar lingkup seorang pegawai polis tolong hentikan.

"Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang ada masalah integriti," katanya.