8.5 juta dos vaksin Covid-19 telah luput - PAC

Mas Ermieyati ketika sidang akhbar di lobi Parlimen pada Isnin.
Mas Ermieyati ketika sidang akhbar di lobi Parlimen pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan masih terdapat sejumlah 8.5 juta dos vaksin Covid-19 bernilai RM505 juta telah luput sejak 1 Jun tahun ini.

PAC menerusi laporan Mesyuarat Ketiga Parlimen ke-15 (2023) pada Isnin memaklumkan, kerugian itu berpunca akibat kekurangan sambutan terhadap vaksin dos penggalak Covid-19.

“Sambutan vaksinasi Covid-19 yang rendah khususnya dos penggalak disebabkan pengambilan dos penggalak adalah secara sukarela dan takut kepada kesan sampingan vaksin ekoran penyebaran maklumat tidak benar.

“Selain itu, ia juga berikutan penerimaan bekalan vaksin di mana vaksin yang ditempah tidak diterima mengikut jadual susulan permintaan global yang sangat tinggi,” kata laporan tersebut pada Isnin.

Dalam pada itu, menurut laporan berkenaan, jumlah simpanan stok bagi 'boot cover' pada 9 Jun tahun ini ialah sebanyak 2.23 juta dan baki stok dijangka dapat bertahan sehingga akhir tahun 2025 berdasarkan kadar penggunaan semasa.

Bagaimanapun, ujarnya, terdapat risiko lebihan 850,000 unit stok 'boot cover' yang akan luput pada penghujung tahun 2024 bernilai RM 927,000 jika tidak dapat digunakan.

“Jumlah simpanan stok bagi protective suit atau coverall pada 9 Jun 2023 ialah 0.64 juta dan baki stok dijangka dapat bertahan sehingga pertengahan tahun 2026 berdasarkan kadar penggunaan semasa.

“Kesemua stok itu dijangka dapat digunakan sebelum luput tarikh,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu lagi, PAC turut mendapati ketiadaan perjanjian bertulis di antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan pembekal Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB) menyebabkan tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.

“Sehingga kini, ketidaktentuan peranan PLSB dalam isu ini mengakibatkan proses mengambil tindakan undang-undang tidak dilaksanakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam sidang media pada Isnin berkata, pihaknya telah mengadakan empat prosiding berhubung isu-isu berkenaan pada 15 Jun, 22 Ogos, 14 September dan 21 September lalu.

Antara saksi yang dipanggil hadir di hadapan PAC ialah bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Kang Siong; Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Datuk Seri Norazman Ayob, bekas Ketua Setiausaha, Datuk Seri Chen Chaw Min; bekas Ketua Setiausaha, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan bekas Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Saksi prosiding dari Pharmaniaga pula terdiri daripada bekas Pengarah Urusan, Datuk Farshila Emran; Pengerusi, Izaddeen Daud dan Ketua Pegawai Operasi, Mohamed Iqbal Abdul Rahman.

“Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan PPE di bawah KKM boleh memuat turun laporan berkenaan di alamat www.parlimen.gov.my/pac,” katanya.