[VIDEO] Fenomena air pasang, limpahan sungai punca banjir kilat

A
A
A

SUNGAI PETANI - Fenomena air pasang besar disertai limpahan sungai berikutan hujan lebat beberapa jam pada petang Ahad menyebabkan beberapa kawasan di sini ditenggelami air.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, pertembungan air pasang besar itu menyebabkan pintu air tidak dapat dibuka sekali gus menjejaskan empat mukim di Daerah Kuala Muda.

Bagaimanapun, katanya, dengan keadaan cuaca cerah pada pagi Isnin selain banjir yang telah surut, diharapkan keadaan pulih sepenuhnya.

Zairil Anuar (tengah) memantau paras air sungai di lokasi banjir kilat di Kampung Bukit Belah, Sungai Petani pada Isnin.
Zairil Anuar (tengah) memantau paras air sungai di lokasi banjir kilat di Kampung Bukit Belah, Sungai Petani pada Isnin.

"Kita telah buka tiga pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Min Terk menempatkan seramai 84 mangsa daripada 28 keluarga manakala PPS Masjid Al Huda di Kampung Jerung menempatkan seramai enam mangsa daripada satu keluarga dan PPS Dewan UMNO Bukit Belah pula menempatkan seramai 20 mangsa daripada enam keluarga.

"Jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah Kuala Muda adalah seramai 110 mangsa daripada 35 keluarga," katanya.

Beliau berkata demkikian ketika ditemui pemberita semasa melakukan tinjauan di lokasi terjejas banjir dekat Kampung Bukit Belah di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Zairil Anuar (tengah) memantau keadaan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Belah, Sungai Petani pada Isnin.
Zairil Anuar (tengah) memantau keadaan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Belah, Sungai Petani pada Isnin.

"Kita memberi tumpuan di empat daerah yang berisiko terjejas akibat fenomena air pasang besar yang bermula semalam namun hanya Kuala Muda dan Kuala Kedah yang terkesan, dua lagi daerah iaitu Kubang Pasu dan Yan tidak terjejas.

"Bagaimanapun kita tetap memberi perhatian di semua lokasi berisiko yang dikenal pasti, dijangka melanda sehingga 31 Oktober ini," katanya.

Zairil Anuar berkata, selain banjir, kejadian angin kencang dan ribut turut menyebabkan sebuah PPS dibuka di Surau Taman Gurun Jaya yang menempatkan seramai tujuh mangsa daripada tiga keluarga.

Dalam pada itu, kejadian ribut dan puting beliung turut berlaku di Daerah Kubang Pasu iaitu di Kampung Pida 3 dan Kampung Pida 4, Kodiang,

Media sebelum ini melaporkan, antara kawasan yang terjejas banjir adalah di Kampung Batu 5, Mukim Gurun manakala Mukim Sungai Petani membabitkan 11 kawasan termasuk kampung dan taman perumahan.

Zairil Anuar ketika ditemui pemberita semasa melakukan pemantauan di lokasi banjir kilat di Kampung Bukit Belah, Sungai Petani.
Zairil Anuar ketika ditemui pemberita semasa melakukan pemantauan di lokasi banjir kilat di Kampung Bukit Belah, Sungai Petani.

Antara kawasan terbabit adalah Taman Bersatu, Taman Widuri, Taman Teratai, Taman Kenari Baru 2, Taman Songket, Taman Berlian, Kampung Baru, Kampung Bukit Belah, Kampung Batu 2, Kampung Haji Wahab 1, Ambangan Height dan Taman Sari.

Kampung Baru Bakar Arang di Mukim Sungai Pasir dan Kampung Jerung di Mukim Sidam Kiri turut dilaporkan terjejas.