Pasang 23 perangkap sampah, tangani isu banjir kilat

MBJB merancang 10 perangkap sampah pada tahun hadapan. Gambar kecil: MOHD NOORAZAM
MBJB merancang 10 perangkap sampah pada tahun hadapan. Gambar kecil: MOHD NOORAZAM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 23 unit perangkap sampah dengan kos RM12.5 juta telah dipasang di 14 lembangan sungai dan parit utama di bandar raya ini bagi menangani isu banjir kilat.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, antara lokasi perangkap sampah tersebut ialah Sungai Sebulung, Sungai Taman Johor, Sungai Pandan, Sungai Tampoi dan Sungai Ayer Molek.

Jelasnya, MBJB akan menambah 10 lagi perangkap sampah pada tahun depan bergantung kepada peruntukan.

"Longgokan sampah ini bergantung kepada pasang surut air, apabila air surut sampah akan dibawa ke laut. Sebab itu, isu sampah ini perlu kawal di peringkat anak sungai lagi.

"Di MBJB, kita sudah pasang 14 perangkap sampai jenis CDS-GPT untuk memastikan sampah tidak sampai ke sungai besar.

"Pemasangan perangkap sampah merupakan antara langkah MBJB dalam memastikan sungai di kawasan bandar raya tidak dipenuhi sampah sarap yang akan mengundang risiko berlakunya banjir kilat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB pada Isnin.

Pada Sabtu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perairan dan Saliran (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkenaan untuk menubuhkan satu 'task force' bagi tangani isu sungai tercemar.

Artikel Berkaitan:

Onn Hafiz berkata demikian selepas pihaknya mengenal pasti sebanyak 14 buah sungai yang dikategorikan dalam kualiti paling tercemar di negeri ini.

Mengulas lanjut, daripada jumlah itu, hanya dua sungai sahaja yang berada di bawah pemantauan MBJB iaitu Sungai Kempas dan Sungai Sengkuang.

Katanya, antara faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai adalah kedudukan sungai berhampiran kawasan industri haram, kawasan perindustrian yang tak tersusun dan kawasan setinggan.

"Untuk melaksanakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) di kawasan sungai ini, semua pihak perlu main peranan dan hasilnya bukan dapat dilihat dalam kadar segera.

"Perancangan itu perlu dibuat secara rapi dan akan memakan masa hingga 10 tahun untuk dapat keputusan yang dirancang bagi tujuan pembersihan sungai, penyusunan semula kawasan dan 'urban renewal'," katanya.

-