Israel ikrar halang usaha Elon Musk bantu Gaza

Elon Musk adalah pemilik syarikat Tesla, SpaceX dan juga manusia terkaya di dunia. - Foto Agensi
Elon Musk adalah pemilik syarikat Tesla, SpaceX dan juga manusia terkaya di dunia. - Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Israel berikar menghalang niat Elon Musk yang mahu menyediakan akses internet kepada agensi bantuan antarabangsa selepas rangkaian telekomunikasi di Genting Gaza lumpuh sepenuhnya pada Jumaat.

Menteri Komunikasi, Shlomo Karhi berkata, tindakan Musk itu hanya memberikan keuntungan kepada pejuang Hamas dan mendakwa ia bakal menyukarkan lagi usaha pembebasan tebusan Israel yang ditahan di Gaza.

"Musk sepatutnya menyalurkan sokongan dan bantuan untuk pembebasan bayi, anak-anak dan warga emas yang diculik," katanya.

Musk sebelum ini berkata perkhidmatan peranti satelit miliknya, Starlink akan menyokong akses internet untuk agensi bantuan di Gaza.

Pemilik syarikat SpaceX itu mengumumkan 'bantuan' tersebut sebagai maklum balas kepada kenyataan ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Alexandria Ocasio-Cortez bahawa pengeboman ganas Israel telah menyebabkan seluruh komunikasi terputus dan tidak boleh diterima.

Wartawan AFP di Gaza mengesahkan bahawa mereka hanya boleh berkomunikasi di kawasan terhad, yang mana mereka hanya boleh berhubung dengan rangkaian Israel merentasi sempadan.

Malah, sejumlah agensi antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terputus hubungan dengan kakitangan mereka di wilayah yang dikepung Israel itu.

Kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di Britain menyifatkan, pemadaman rangkaian telekomunikasi di Gaza membuka ruang lebih luas kepada Israel melakukan keganasan di wilayah yang dikepung itu.

Artikel Berkaitan:

Penyelidik kanan HRW, Deborah Brown berkata, ketiadaan perkhidmatan internet menyukarkan orang awam dan kumpulan hak asasi manusia menyiarkan bukti kekejaman dilakukan Israel di platform media sosial. - Agensi