Pemegang tauliah JAIS diingat jangan campur isu agama, politik

Abdul Aziz (tengah) melakukan simbolik pada Majlis Perasmian Multaqa Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor pada Sabtu.
Abdul Aziz (tengah) melakukan simbolik pada Majlis Perasmian Multaqa Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemegang tauliah mengajar agama Islam di negeri Selangor diingatkan tidak mencampuradukkan isu agama dengan politik kepartian.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pendakwah juga tidak boleh menyelitkan perkara yang mempunyai kecenderungan mendatangkan penghinaan terhadap mana-mana agama dan perasaan tidak suka terhadap kerajaan atau mengembangkan perasaan buruk sangka serta permusuhan kaum di negara ini.

Menurut beliau, peringatan itu selaras titah Sultan Selangor yang tidak memperkenankan tauliah mengajar diberikan kepada aktivis politik pada 18 Februari 2022.

"Larangan dibuat bagi menghalang pihak menyalahgunakan medan dakwah dan pengajaran agama Islam sebagai gelanggang politik.

"Selain itu, ia bagi mengelak berlaku penyebaran propaganda politik berunsur fitnah dan kebencian yang menjadi punca perselisihan atau perpecahan umat Islam," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Multaqa Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, tegas beliau, semua pemegang tauliah di negeri ini perlu sentiasa mematuhi undang-undang atau arahan, larangan dan perintah diberikan pihak berkuasa agama.

Abdul Aziz memberitahu, tauliah mengajar bukan saja memenuhi kehendak undang-undang, namun memastikan individu yang mengajar dan kandungannya menepati pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Ia termaktub dalam Seksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 bahawa Jawatankuasa Tauliah mempunyai kuasa memberi tauliah bagi maksud pengajaran Islam dan boleh menariknya semula," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, peranan MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) amat besar dalam memastikan pendakwah di negeri ini mempunyai tauliah mengajar.

Beliau berkata, pendakwah bertanggungjawab memelihara perilaku daripada terlibat dengan perkara yang boleh mencemarkan imej Islam sehingga menjadi bahan tontonan di media.

"Mereka juga perlu merujuk kitab yang diluluskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan mengajar berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Setiap pendakwah perlu memahami realiti kehidupan masyarakat dalam merancang program terutama memperkukuhkan akidah Islam dan mengajar perkara berkaitan fardu ain," ujarnya.

Beliau memberitahu, seramai 5,682 pendakwah bertauliah direkodkan di Selangor sehingga 30 September lalu.

Pada majlis itu, Perkhidmatan Digital Pengurusan Tauliah Mengajar Negeri Selangor turut dilancarkan, yang merupakan sistem pertama di Malaysia bagi pengurusan tauliah mengajar.

Sistem itu dibangunkan bagi memudahkan urusan bakal pendakwah dan pendakwah sedia ada melibatkan pembaharuan tempoh tauliah mengajar, pendaftaran, ujian, sesi temu duga, perakuan tauliah, kehadiran ceramah dan aduan.