PRN: Polis nasihat parti politik jangan sentuh isu 3R

Razarudin (dua dari kiri) meninjau Bilik Gerakan Polis PRN di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin.
Razarudin (dua dari kiri) meninjau Bilik Gerakan Polis PRN di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menggesa semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri supaya mengelak daripada menyentuh isu 3R iaitu bangsa, agama dan raja sepanjang tempoh berkempen nanti.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia bagi mengelakkan suasana ketidakharmonian dan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat sepanjang PRN diadakan.

Menurutnya, kesemua parti yang bertanding perlu mematuhi undang-undang pilihan raya, antaranya Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Hasutan.

"Kita menasihatkan parti-parti politik yang bertanding agar tidak menyentuh isu sensitif dengan mengeluarkan perkataan tidak sepatutnya terutamanya 3R kerana ia akan mewujudkan keadaan tidak harmoni dan ketidaktenteraman dalam kalangan rakyat.

"Sekiranya 3R dimainkan, kita nampak akan berlaku perpecahan. Kita nak tengok PRN dalam keadaan aman dan pengundi pun boleh keluar mengundi dengan keadaan aman untuk memilih calon-calon pilihan mereka," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan dan meninjau persiapan PRN Polis Kontinjen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Kata beliau lagi, polis juga mempunyai pegawai perakam dan pegawai zon yang akan memantau perjalanan kempen sepanjang PRN bagi merekodkan serta memantau semua aktiviti ceramah.

"Jika ada yang didapati menyentuh berhubung isu 3R, siasatan akan terus dijalankan sama ada oleh Bukit Aman atau di peringkat kontinjen polis itu sendiri. Seramai 40,000 anggota dan pegawai polis akan bertugas sepanjang berlangsungnya PRN di enam buah negeri terbabit.

"Bagi Kontinjen Pulau Pinang pula, kita akan menempatkan 663 anggota dan pegawai polis untuk membantu sepanjang PRN di sini nanti. Mereka ini terdiri daripada anggota dan pegawai dari Bukit Aman dan negeri-negeri yang terlibat dengan PRN," katanya.

Tambah Razarudin, kesemua parti politik dinasihatkan agar memohon permit ceramah daripada pihak polis lebih awal.

"Kita memang melayan setiap permohonan untuk mendapatkan permit dalam masa 24 jam, namun kita mohon parti politik agar mohonlah permit ini dengan lebih awal untuk mengelakkan berlakunya pertembungan dengan parti-parti lain di satu-satu kawasan.

"Saya telah ke Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan hari ini di Pulau Pinang untuk meninjau persiapan PRN. Saya mendapati, semua berjalan dengan lancar. Selepas ini, saya akan ke Kelantan dan Terengganu pula untuk tujuan sama," katanya.

Razarudin turut berpuas hati dengan taklimat persediaan PRN yang diberikan di peringkat Kontinjen Pulau Pinang.

"Apa yang telah disyorkan, dicadangkan dan dimohon dari segi bantuan keanggotaan oleh Ketua Polis Pulau Pinang juga sangat ideal, tidak terlampau lebih atau ada kekurangan yang boleh menjejaskan perjalanan PRN," katanya.

Selain Pulau Pinang, lima negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri dan pada Pilihan Raya Umum 2018, Pakatan Harapan telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada PH.