Seludup dadah ke Australia, rakyat Malaysia turut terlibat

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KAJANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mengenal pasti beberapa individu dalam negara dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah jenis methamphetamine di Melbourne, Australia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan berhubung kes itu telah dibongkarkan oleh pihak berkuasa Australia baru-baru ini.

Bagaimanapun kata beliau, identiti individu tersebut tidak dapat didedahkan pada masa ini ekoran siasatan masih dijalankan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah berkenaan telah diseludup dari kawasan segi tiga emas, sebelum dibungkus semula di negara ini dan dihantar ke Australia.

"Pihak polis telah memperoleh maklumat daripada pihak berkuasa Australia berhubung kes ini.

"Kita sedang jalankan siasatan bagi mengenal pasti sindiket dadah yang menyeludup dadah tersebut ke sana.

"Perkara ini masih dalam tindakan lanjut daripada pihak PDRM," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada Jumaat.

Media pada 10 April lalu melaporkan pihak berkuasa Australia merampas 336 kilogram (kg) heroin bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam satu kenyataan berkata, Pasukan Sempadan Australia (ABF) mengesan dadah berkenaan yang disorok dalam dua blok konkrit simen masing-masing seberat 500kg.

Semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

Sementara itu, AFP sekali dalam kenyataan pada 12 Oktober lalu mendedahkan empat lelaki dengan seorang daripada mereka warganegara Malaysia ditahan pihak berkuasa Australia berkaitan rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 622kg di Melbourne, Australia.

AFP melaporkan bungkusan itu baru tiba di Melbourne melalui kargo laut dari Malaysia pada 4 Oktober.

Hasil pemeriksaan, polis menemukan 622 bungkusan teh emas dan hijau dengan setiap satu seberat satu kilogram yang disembunyikan dalam palet gulungan kertas tandas.

Dadah yang dirampas itu dianggarkan hampir AUD$560 juta (RM1.7 bilion) dan dua warga China berusia 33 tahun, seorang warga Malaysia, 34, serta warga Hong Kong, 32, ditahan.

Dua daripada lelaki itu ditahan di lapangan terbang ketika cuba meninggalkan Australia secara berasingan.