68 peratus Gen-Z menyimpan kurang RM500 - RMFLS 2023

Gambar hiasan. Gambar kecil: Tuck Siew - Foto BusinessToday.com
Gambar hiasan. Gambar kecil: Tuck Siew - Foto BusinessToday.com
A
A
A

SHAH ALAM - 68 peratus responden generasi Z yang lahir dari tahun 1997 hingga 2012 didapati menyimpan kurang daripada RM500 sebulan berbanding 71 peratus purata negara atau 70 peratus Milenial.

Hasil Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2023 turut mendapati 48 peratus responden generasi Z telah mula melabur, yang mana ia merupakan satu petanda positif bagi membina kekayaan dalam jangka panjang sejak usia muda.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew dalam satu kenyataan berkata, jika dibandingkan dengan purata negara dan generasi lain, tiada perbezaan ketara yang menunjukkan bahawa generasi Z kurang tanggungjawab dan literasi kewangan.

“Penemuan RMFLS tahun ini menonjolkan pelbagai cabaran baharu yang dihadapi rakyat Malaysia.

“Ia adalah peringatan bahawa cabaran-cabaran ini hanya boleh ditangani melalui usaha kolaboratif daripada semua pihak termasuk kerajaan, industri perkhidmatan kewangan dan rakyat.

“Saya amat terinspirasi oleh daya tahan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dalam menghadapi masalah kewangan, dan kami di RinggitPlus akan terus memainkan peranan aktif untuk meningkatkan tahap literasi kewangan digital di Malaysia,” katanya pada Khamis.

Menurut beliau, Generasi Z mempamerkan daya tahan serupa dengan rakyat Malaysia lain meskipun berdepan dengan cabaran untuk memasuki tenaga kerja semasa pandemik dan kos sara hidup tinggi.

Ujarnya, situasi mencabar itu mungkin telah mendorong mereka untuk mengejar kebebasan kewangan secara aktif sejak peringkat awal kehidupan mereka

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebagai sebahagian daripada inisiatif RMFLS 2023, pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan kongsi GXBank, CTOS dan Capital Dynamics untuk menghasilkan satu siri kandungan pendidikan berpaksikan sosial yang memfokuskan pelbagai topik kewangan peribadi.

“Jadi, kami akan berpadu tenaga dengan rakan-rakan kongsi RMFLS bagi mempergiatkan usaha penghasilan kandungan tentang literasi kewangan, terutamanya di media sosial.

“Kami kekal komited dalam perjalanan kami untuk membantu rakyat Malaysia, selangkah demi selangkah,” jelasnya.