Kes i-Serve: Polis tahan empat lagi suspek

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat lagi suspek termasuk seorang peguam melibatkan kes i-Serve di pekarangan Menara KPJ, Jalan Tun Razak dan Bukit Tunku dekat sini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya membuat penahanan ke atas tiga suspek pertama sekitar jam 1 hingga 1.30 petang.

Beliau berkata, tangkapan seterusnya melibatkan seorang suspek lelaki yang merupakan peguam i-Serve berusia 62 tahun di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

"Suspek telah dibawa ke pejabat kes pengubahan wang haram (AMLA) untuk tindakan lanjut dan tahanan reman akan diambil ke atasnya pada Jumaat.

"Bagi tangkapan tiga suspek lain pada hari ini (Khamis), ia melibatkan warga tempatan yang merupakan dua wanita berusia 30 dan 33 tahun serta seorang lelaki berusia 48 tahun di pekarangan Menara KPJ.

"Siasatan sedang diteruskan dan permohonan reman ke atas tiga suspek itu akan dibuat pada Jumaat jam 10 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang ditahan mempunyai peranan masing-masing.

Beliau berkata, suspek pertama bekerja di I-Serve Technology and Vacation Sdn Bhd sebagai 'Treasury Assistant' dan bertugas dalam membuat urusan kewangan serta kira-kira syarikat dalam urusan pembelian tiket dengan syarikat AirAsia.

Artikel Berkaitan:

Tambannya, suspek pertama itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah kepada syarikat-syarikat bernama Trillion Cove Sdn Bhd, Trillion Cove Holdings Bhd dan Win Capital Holdings.

Selain itu, Ramli berkata, suspek pertama itu juga dilantik sebagai 'General Partner' kepada QA Smart Partnership PLT, QA Premium Partnership PLT dan QA Elite Partnership PLT.

"Suspek pertama ini dan staf-staf lain ditugaskan untuk memantau akaun-akaun daripada pelabur yang masuk ke dalam akaun syarikat, selain menyediakan dokumen-dokumen seperti Partner Financing, Dates of Adhearence (DOA) dan lain-lain dokumen berkaitan.

"Dia juga menguruskan pembayaran financing profit atau dividen kepada pelabur-pelabur yang melabur ke dalam syarikat tersebut," ujarnya.

Bagi suspek kedua, beliau berkata, individu itu bekerja di I-Serve Technology and Vacation Sdn Bhd secara dalam talian pada 2013.

Katanya, jawatan suspek kedua di I-Serve Technology and Vacation Sdn Bhd adalah sebagai pembantu kewangan dan bertugas dalam membuat urusan kewangan serta kira-kira syarikat dalam urusan pembelian tiket dengan syarikat penerbangan AirAsia.

Ramli berkata, suspek itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah kepada syarikat-syarikat bernama Advance Digital Venture Berhad, Ample Prosperity Sdn Bhd, Cantik Capital Sdn Bhd dan Win Capital Holdings Sdn Bhd.

"Dia ditugaskan sebagai 'treasury manager' dan menguruskan kutipan jualan untuk semua 'outlet groceries' yang dijalankan oleh syarikat tersebut," ujarnya.

Bagi suspek ketiga pula, katanya, individu terbabit mula bekerja di I-Serve Technology and Vacation Sdn Bhd sebagai Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan pada 2006.

Selain itu, menurutnya, suspek ketiga juga bertugas dalam membuat sistem dan perisian komputer syarikat.

"Dia juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah kepada syarikat-syarikat bernama MyAirline Sdn Bhd, Trillion Cove Capital Sdn Bhd, Trillion Cove Holdings Berhad dan Win Capital Holdings Sdn Bhd," ujarnya.