Polis tahan wanita, rampas 94 botol heroin, 1,000 pil yaba

Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas di Kampung Lembah Cherang Ruku, Pasir Puteh.
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas di Kampung Lembah Cherang Ruku, Pasir Puteh.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan seorang wanita dan merampas 94 botol plastik mengandungi dadah jenis heroin dalam serbuan di rumah tanpa nombor di Kampung Lembah Cherang Ruku, Pasir Puteh pada Selasa.

Serbuan pada jam 9.25 pagi itu turut membawa kepada rampasan 1,000 biji pil yaba.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua dadah bernilai RM199,000 itu ditemukan di dalam rumah dan kereta hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.

"Jumlah dadah yang dirampas ini jika berjaya diedarkan boleh digunakan seramai 6,327 penagih," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Mohd Ali Tamby dan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria.

Menurut beliau, suspek berusia 31 tahun itu merupakan seorang penganggur dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Ujarnya, kes terbabit akan disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!