Peruntukan RM11.5 juta inisiatif GPPG

Manfaatkan lebih 9,000 pekebun kecil getah, tingkatkan pengeluaran

A
A
A

Ahmad Zainal (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima sempena Kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) RISDA Negeri Kelantan 2023 di Hotel Grand River View, Kota Bharu pada Khamis.
Ahmad Zainal (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima sempena Kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) RISDA Negeri Kelantan 2023 di Hotel Grand River View, Kota Bharu pada Khamis.

KOTA BHARU - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kelantan menyediakan peruntukan sebanyak RM11.5 juta kepada lebih 9,000 pekebun kecil getah dengan memperkenalkan inisiatif Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG).

Timbalan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ahmad Zainal Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan inisiatif program Skim Getah Matang (SGM) bantuan peringkat pertama hingga peringkat lima.

Menurut beliau, usaha itu juga sesuai dengan harga pasaran getah yang mencabar, keadaan cuaca tidak menentu dan serangan penyakit pokok.

"Kerajaan amat peka dengan isu semasa termasuk kekurangan tenaga kerja dan pelapis muda yang menjadi cabaran utama ketika ini," katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) RISDA Negeri Kelantan 2023 di Hotel Grand River View, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah RISDA Kelantan, Maizal Hakiman Nawawi.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zainal memberitahu, mengikut rekod di negeri Kelantan, sebanyak 40 peratus atau lebih 30,000 daripada 74,000 pekebun kecil tidak mengusahakan kebun getah mereka.

Katanya, jumlah itu melibatkan keluasan sebanyak 48,000 hektar daripada 120,000 hektar keseluruhan kawasan kebun getah negeri ini.

"Kesannya kita semua dapat lihat, rekod menunjukkan kebun getah yang tidak bertoreh meningkat kepada 30 peratus iaitu 533,000 hektar pada tahun 2022 berbanding 409,000 hektar pada 2019," katanya.

Beliau sebelum itu turut menyampaikan Anugerah Penerima Geran Padanan kepada Mohd Azlan Mat Nor dan Anugerah Penerima Insentif Pengeluaran Getah Bekelompok kepada Sakeri Che Harun.

MOHD AZLAN
MOHD AZLAN

Mohd Azlan berkata, geran itu banyak membantu peserta Depo Kampung Redang, Tanah Merah untuk mengusahakan kebun getah.

"Geran berkenaan dapat terus menggerakkan depo untuk bersama memajukan pekebun getah," katanya.

SAKERI
SAKERI

Sementara itu, Sakeri pula berharap lebih ramai pekebun menjual getah mereka di depo untuk menerima insentif pengeluaran getah kelompok yang disediakan oleh RISDA.