Dakwaan gigit murid, beri ruang pihak berkuasa jalan siasatan

Fadhlina pada sidang media selepas Majlis ‘Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA)’ 2022 di Auditorium, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara hari ini. - Foto Bernama
Fadhlina pada sidang media selepas Majlis ‘Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA)’ 2022 di Auditorium, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menyiasat berhubung kes seorang guru lelaki yang didakwa menggigit bibir muridnya, di sebuah sekolah di pantai timur yang tular semalam.

Fadhlina berkata, segala siasatan mesti mengikut saluran serta proses yang betul iaitu mempunyai aduan, siasatan serta ketelusan dan pihak kementerian sedang menanti keputusan siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

"Status (kedudukan) guru berkenaan akan diserahkan kepada JPN sama ada akan dibawa ke peringkat lebih jauh.

"Saya hendak memberi jaminan bahawa apa sahaja aduan berkaitan keganasan, buli atau apa sahaja tindakan fizikal, kita akan siasat. Tidak ada kompromi. Hormat proses (siasatan) itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis anugerah Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) 2002, di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, di sini hari ini.

Semalam, tular di media sosial seorang ibu mendakwa anak lelakinya berusia enam tahun digigit oleh seorang guru di bahagian bibirnya mengakibatkan kanak-kanak itu trauma untuk ke sekolah.

Dakwa wanita berkenaan, kejadian itu bukan sahaja melibatkan anak lelakinya, tetapi beberapa murid lain turut menjadi mangsa dengan digigit di bahagian mulut, tangan, hidung dan telinga. - Bernama