MITRA tubuh jawatankuasa pantau penerima geran PPSMI - Ramanan

Ramanan ketika sidang media pada Sesi Penyerahan Surat Pemakluman Kelulusan Geran PPSMI 2023 di Auditorium Kompleks E, Putrajaya pada Rabu. - Foto: Bernama
Ramanan ketika sidang media pada Sesi Penyerahan Surat Pemakluman Kelulusan Geran PPSMI 2023 di Auditorium Kompleks E, Putrajaya pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Satu jawatankuasa pemantauan akan ditubuhkan untuk memastikan peruntukan RM27.19 juta di bawah Geran Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia (PPSMI) 2023 disalurkan dengan telus.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Datuk R Ramanan berkata, jawatankuasa pemantauan PPSMI itu akan dipengerusikan beliau sendiri, yang antara lain bertujuan mengadakan lawatan mengejut ke organisasi yang menerima geran dan turun padang menyertai program dijalankan oleh organisasi itu.

"Saya juga akan hantar pegawai MITRA buat pemeriksaan mengejut untuk melihat bagaimana sesuatu program itu dikendalikan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat kelulusan PPSMI fasa pertama pada Rabu.

Sebanyak 183 organisasi atau badan bukan kerajaan berasaskan pendidikan, kebajikan, ekonomi dan latihan kerjaya menerima geran berjumlah RM27.19 juta pada Rabu.

Secara keseluruhannya, geran PPSMI adalah berjumlah RM30 juta.

Bagi fasa kedua, Ramanan berkata, ia kini pada peringkat penilaian organisasi dan peruntukan akan disalurkan secepat mungkin kepada organisasi yang melepasi saringan.

"Saya berharap semua organisasi yang menerima geran dapat bersama-sama memainkan peranan proaktif dalam memastikan bantuan yang diberikan benar-benar sampai kepada individu dan kumpulan yang disasarkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Malaysian Biotechnology Information Centre (MABIC), Dr A Mahaletchumy berkata, peruntukan yang diterima oleh MABIC akan digunakan bagi percetakan kandungan bahasa Tamil dalam akhbar bulanan sains berbahasa Inggeris ‘The Petri Dish’ terbitan organisasi itu.

Artikel Berkaitan:

Mahaletchumy berpendapat masyarakat India khususnya masih ketinggalan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta bioteknologi, justeru kandungan bahasa Tamil akan membantu golongan itu untuk ‘buka mata’ terhadap bidang baharu yang boleh diterokai.

Menurutnya akhbar itu akan turut diedarkan ke 525 sekolah Tamil seluruh negara secara percuma dan dana yang diterima juga akan digunakan bagi penganjuran pertandingan sains. - Bernama