HLB lancar program E-Duit Desa percepat transformasi digital

Alif Satar (kiri) dan Andrew Jong (kanan) ketika pelancaran program E-Duit Desa di Bagan Nakhoda Omar (BNO) Sabak Bernam pada Rabu.
Alif Satar (kiri) dan Andrew Jong (kanan) ketika pelancaran program E-Duit Desa di Bagan Nakhoda Omar (BNO) Sabak Bernam pada Rabu.
A
A
A

HONG Leong Bank Berhad (HLB) melancarkan program E-Duit Desa di Bagan Nakhoda Omar (BNO) Sabak Bernam untuk mempercepatkan transformasi digital holistik di seluruh bandar ini.

Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB, Andrew Jong berkata, menerusi program tersebut, bank awam itu menyediakan akses perkhidmatan e-pembayaran dan nasihat penyelesaian kewangan kepada penduduk serta perniagaan.

“Ia juga menyokong objektif Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempercepatkan pengambilan transaksi tanpa tunai yang membawa kepada peningkatan keterangkuman kewangan dalam kalangan orang ramai.

“Bank juga berusaha untuk memperkasakan lagi komuniti bagi menyesuaikan diri dengan pendigitalan dan perbandaran yang pesat.

“Kami juga membantu perniagaan tempatan berkembang dengan menawarkan cara yang selamat, terjamin dan mudah menerima wang transaksi kewangan untuk menyepadukan ekosistem tanpa tunai di kawasan ini,” katanya pada Rabu.

Menurutnya, sejak melancarkan inisiatif transformasi tanpa tunai di Pulau Pinang sebelum wabak Covid-19 dan program HLB di Sekinchan, pihaknya sentiasa mencari cara baharu untuk meningkatkan komuniti serta perniagaan tempatan melalui digital.

Jelasnya, ia diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan meluas pada masa hadapan.

“Kami berharap dapat meneruskan transformasi digital ini di bandar lain terutamanya di Pasar Tamu Donggongon di Sabah, Daerah Kinta dan Manjung di Perak dengan rancangan untuk membolehkan ekosistem tanpa tunai,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Melalui program E-Duit Desa, HLB memudahkan pembukaan akaun bank dan mengeluarkan kad debit untuk komuniti BNO tanpa perlu melawat cawangan bank yang berhampiran.

Bagi perniagaan tempatan, HLB telah melengkapkan mereka dengan Kit Permulaan HLB DuitNow, termasuk kod QR DuitNow yang membolehkan peniaga menerima pembayaran QR tanpa sentuhan daripada aplikasi perbankan mudah alih atau eWallet.

Sementara itu, duta jenama HLB, Alif Satar berkata, program sedemikian penting kepada penduduk tempatan dan perniagaan kerana memberi banyak manfaat.

Menurutnya, BNO sering menjadi trek laluan ketika dia melakukan aktiviti kayuhan berbasikal dan kebiasaan tidak membawa wang tunai.

“Program ini membolehkan perniagaan tempatan menerima kaedah bayaran tanpa tunai bukan sahaja menjadikan transaksi lebih selamat, tetapi membuat pembayaran lebih cepat dan mudah.

“Dari sudut keusahawanan, ada alat mudah seperti kod QR atau terminal pembayaran tanpa tunai dapat membantu perniagaan berkembang kerana kemudahan dan keselamatan yang diberikan kepada pelanggan.

“Saya tahu cara digitalisasi dan pelaksanaan kaedah ini dapat tingkatkan kecekapan operasi, seterusnya ia menambahkan penjualan serta memperluaskan peluang perniagaan,” ujar Alif

Sebelum ini, HLB memperkenalkan penyelesaian pembayaran tanpa tunai di 75 sekolah melalui program HLB @ School dan program HLB DuitSmart melalui bengkel literasi kewangan dilakukan mengikut kesesuaian institusi rendah serta menengah yang memberi manfaat kepada lebih 1,600 pelajar tahun lalu.