Hutang cukai LHDN arwah suami, adakah waris perlu tanggung beban?

Soalan:
Arwah suami saya merupakan seorang usahawan yang mengusahakan syarikat enterprise yang menjalankan perniagaan cuci kereta. Setelah meninggal dunia hujung tahun lepas, perniagaan yang diusahakan terpaksa dihentikan kerana tiada yang menguruskan memandangkan saya tidak bekerja dan menjaga anak-anak yang masih bersekolah rendah. Baru-baru ini saya mendapat surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung tunggakan cukai arwah suami saya yang perlu dijelaskan. Suami dah meninggal. Boleh ke LHDN nak tuntut hutang tunggakan tersebut daripada waris.
Jawapan:
Persoalan perwarisan sering kali hanya difikirkan selepas kehilangan berlaku. Pada ketika itu, waris bukan sahaja berdepan dengan kesedihan emosi, malah terpaksa menggalas pelbagai urusan yang rumit dan memenatkan. Salah satu isu yang kerap dibangkitkan ialah tuntutan hutang, khususnya hutang cukai oleh LHDN.
Persoalan besar yang bermain di fikiran balu ialah: “Suami saya sudah meninggal dunia. Adakah LHDN masih boleh menuntut hutang cukai tersebut daripada saya atau anak-anak sebagai waris?”
Persoalan ini bukanlah kes terpencil. Hakikatnya, ramai waris di Malaysia berhadapan situasi yang sama, namun tidak memahami kedudukan sebenar dari sudut undang-undang dan perwarisan.
Hutang tidak mati bersama kematian.
Perkara paling penting yang perlu difahami ialah kematian seseorang tidak menghapuskan hutang yang ditinggalkan termasuk hutang cukai kepada kerajaan.
Dalam konteks undang-undang Malaysia, semua hutang arwah sama ada hutang bank, hutang perniagaan, hutang individu atau hutang cukai kepada LHDN perlu diselesaikan terlebih dahulu daripada harta pusaka arwah sebelum sebarang pembahagian kepada waris dibuat.
Ini bermakna, LHDN berhak mengemukakan tuntutan terhadap harta pusaka arwah, bukan terhadap waris secara peribadi.
Namun, di sinilah timbul salah faham besar dalam kalangan masyarakat. Ramai waris menyangka bahawa apabila menerima surat tuntutan, mereka wajib membayar hutang tersebut menggunakan duit sendiri. Hakikatnya, waris tidak bertanggungjawab menanggung hutang arwah daripada poket peribadi mereka, selagi hutang tersebut masih boleh ditampung daripada harta pusaka arwah.
Bagaimana LHDN membuat tuntutan?
Apabila seseorang meninggal dunia, LHDN berhak menyemak rekod percukaian arwah. Jika terdapat tunggakan cukai, notis tuntutan akan dikeluarkan kepada wakil arwah dan lazimnya pasangan, waris terdekat atau sesiapa yang menguruskan harta pusaka.
Tuntutan ini bukan bermaksud LHDN menekan waris, tetapi merupakan proses undang-undang yang perlu dilaksanakan. LHDN bertindak sebagai pemiutang, sama seperti bank atau institusi kewangan lain.
Dalam kes usahawan enterprise seperti perniagaan cuci kereta, kebiasaannya terdapat tunggakan cukai pendapatan, cukai perniagaan atau penalti kerana kegagalan mengemukakan borang cukai selepas kematian.
Siapa sepatutnya menguruskan tuntutan ini?
Di sinilah peranan pentadbir pusaka menjadi sangat penting.
Pentadbir pusaka ialah individu yang dilantik secara sah melalui Mahkamah Tinggi atau Amanah Raya untuk menguruskan keseluruhan harta pusaka arwah. Antara tugas utama pentadbir ialah:
1. Mengenal pasti aset dan liabiliti arwah
2. Menguruskan tuntutan hutang termasuk dengan LHDN
3. Menjelaskan hutang menggunakan harta pusaka
4. Menguruskan dokumen percukaian arwah
5. Membahagikan baki harta kepada waris selepas semua hutang diselesaikan
Tanpa pelantikan pentadbir, waris sering berada dalam keadaan keliru, tertekan dan tidak tahu langkah yang betul untuk diambil. Akibatnya, surat tuntutan dibiarkan, penalti bertambah dan konflik mula tercetus dalam keluarga.
Adakah waris boleh menolak untuk membayar?
Secara prinsipnya, waris tidak wajib membayar hutang arwah menggunakan harta peribadi. Namun, jika waris telah mengambil atau menggunakan harta pusaka arwah tanpa melalui proses pentadbiran yang sah, mereka berisiko dipertanggungjawabkan.
Contohnya, jika waris terus menggunakan wang dalam akaun arwah, menjual aset atau mengambil keuntungan perniagaan tanpa penyelesaian hutang, keadaan ini boleh menimbulkan implikasi undang-undang.
Justeru, langkah paling selamat ialah membekukan urusan harta pusaka sehingga pentadbir dilantik dan semua tuntutan hutang dikenal pasti.
Bagaimana jika harta pusaka tidak mencukupi?
Ini juga antara persoalan yang sering membelenggu waris. Jika nilai harta pusaka arwah tidak mencukupi untuk menampung semua hutang, harta tersebut akan digunakan setakat kemampuan sahaja.
Dalam situasi ini, waris tidak diwajibkan untuk menambah bayaran daripada harta sendiri. Hutang yang tidak dapat dilangsaikan sepenuhnya akan tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada dan LHDN akan mengambil pendekatan sewajarnya.
Namun, penting untuk waris berkomunikasi secara rasmi dengan LHDN melalui pentadbir pusaka, bukan berdiam diri atau mengelak.
Pengajaran besar buat masyarakat
Kes ini memberi satu pengajaran besar kepada kita semua. Ramai usahawan bekerja keras membina perniagaan dan mencari rezeki, tetapi terlepas pandang aspek perancangan perwarisan dan percukaian.
Pelantikan pentadbir dan dokumentasi kewangan yang kemas serta perancangan harta bukanlah perkara untuk orang kaya semata-mata. Ia adalah tanggungjawab bagi sesiapa sahaja yang mempunyai tanggungan, perniagaan atau aset walau sekecil mana sekalipun.
Perancangan yang dibuat semasa hidup bukan untuk diri kita, tetapi untuk melindungi mereka yang kita sayang agar tidak terbeban dengan urusan yang sepatutnya boleh dipermudahkan.
AMANAH
Kepada para waris yang sedang berdepan dengan tuntutan hutang cukai arwah, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian. Fahami hak dan tanggungjawab anda, dapatkan panduan yang betul dan elakkan membuat keputusan terburu-buru atas dasar emosi atau ketakutan.
Perwarisan bukan sekadar soal pembahagian harta, tetapi soal amanah, tanggungjawab dan kasih sayang yang ditinggalkan oleh seseorang selepas pemergiannya.
Ringkasan AI
- Kematian seseorang tidak menghapuskan hutang yang ditinggalkan termasuk hutang cukai
- Hutang harus diselesaikan daripada harta pusaka sebelum pembahagian kepada waris
- LHDN berhak menuntut hutang daripada harta pusaka, bukan waris secara peribadi
- Pentadbir pusaka bertanggungjawab mengurus hutang arwah termasuk cukai
- Waris tidak diwajibkan membayar hutang menggunakan harta peribadi jika proses pentadbiran dilakukan dengan betul
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
