Dalang kes pecah kedai ditahan

Polis merampas pakaian yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah. Gambar kecil: Christopher
Polis merampas pakaian yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah. Gambar kecil: Christopher
A
A
A

MELAKA - Polis memberkas seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk premis perniagaan sekitar negeri ini.

Suspek berusia 22 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah lebih kurang jam 10.45 pagi di Kota Laksamana pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat susulan pihaknya menerima enam laporan polis berhubung kes jenayah itu membabitkan lapan premis kedai makan dengan kerugian bernilai RM10,000.

Menurutnya, modus operandi suspek dengan cara memecah tingkap atau mengumpil pintu belakang kedai antara jam 2 hingga 5 pagi dengan menyasarkan premis perniagaan di kawasan Kota Laksamana.

"Pihak polis juga berjaya merampas beberapa buah telefon bimbit milik mangsa serta pakaian-pakaian yang digunakan semasa kejadian.

"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau jenayah melibatkan kes curi motosikal dan dadah," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Jelasnya, dengan penahanan suspek pihaknya yakin berjaya menyelesaikan lapan laporan kes pecah kedai yang diterima sejak awal September lalu.

"Suspek yang bekerja sebagai pembancuh air di sebuah kedai makan ditahan reman sehingga Isnin ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: