Polis nafi tidak bertindak kes pekerja kedai emas mencuri

Polis menafikan tidak mengambil tindakan terhadap seorang wanita yang bekerja di sebuah kedai emas di Gelang Patah selepas didakwa majikannya mencuri emas lebih RM100,000 pada Jun lalu. - Gambar hiasan Foto 123rf (Gambar kecil: Rahmat)
Polis menafikan tidak mengambil tindakan terhadap seorang wanita yang bekerja di sebuah kedai emas di Gelang Patah selepas didakwa majikannya mencuri emas lebih RM100,000 pada Jun lalu. - Gambar hiasan Foto 123rf (Gambar kecil: Rahmat)
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis menafikan tidak mengambil tindakan terhadap seorang wanita yang bekerja di sebuah kedai emas di Gelang Patah dekat sini selepas didakwa majikannya mencuri emas lebih RM100,000 pada Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya sudah bertindak dengan menangkap wanita berkenaan yang berusia 19 tahun untuk siasatan selepas menerima aduan daripada majikannya.

"Kejadian berlaku pada 2 Jun lalu dan selepas menerima aduan, pihak polis menangkap suspek pada 10 Jun. Malah suspek juga direman sehingga 14 Jun untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Bukan itu sahaja selepas itu hasil siasatan telah dirujuk kepada pihak pendakwaan pada 13 Julai namun menerima arahan supaya suspek dilepas dan dibebaskan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau mengulas dakwaan seorang wanita yang merupakan majikan suspek mendakwa sudah membuat laporan polis pada 10 Jun lalu tetapi sehingga kini kes itu tiada sebarang perkembangan.

Majikan tersebut juga mendakwa suspek yang bukan sahaja mencuri emas tetapi juga wang tunai tidak ditahan polis selepas laporan berkenaan dibuat.

Sementara itu, pemilik kedai emas berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai May, 58, berkata, suspek diambil bekerja di bahagian kaunter pada Julai tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Dia mendakwa, suspek biasanya akan menyerahkan keseluruhan wang perniagaan selepas kedai ditutup dan pada mulanya menyedari terdapat jumlah wang yang diserahkan tidak sama dengan hasil jualan.

Namun katanya, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana jumlahnya kecil dan beranggapan wanita itu 'tersilap' semasa melakukan kiraan namun perbuatannya terbongkar selepas seorang lagi pekerjanya melihat suspek cuba mencuri emas.

"Suspek cuba mencuri emas contoh yang dipamerkan di kedai. Seorang pekerja saya ternampak dia cuba melakukan perbuatan itu dua kali. Suspek kemudian menyatakan mahu berhenti kerja pada bulan depan tetapi apabila saya dapat tahu selepas buat siasatan, dia sebenarnya sudah mencuri wang sejak Jun lalu, saya kemudian memberhentikannya serta-merta," katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut di kedainya mendapati kira-kira 500 gram emas telah hilang sebelum membuat laporan polis namun mendakwa keterangannya hanya diambil selepas dua bulan laporan dibuat.