Lima PBT di Johor nilai semula kadar baharu cukai harta

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini memaklumkan kerajaan Johor akan meneliti kaedah dan kadar kenaikan cukai harta yang bakal dilaksanakan membabitkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tidak membebankan rakyat. Gambar kecil: Mohd Jafni
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini memaklumkan kerajaan Johor akan meneliti kaedah dan kadar kenaikan cukai harta yang bakal dilaksanakan membabitkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tidak membebankan rakyat. Gambar kecil: Mohd Jafni
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kadar baharu cukai harta melibatkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dinilai semula sebagaimana diarahkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar tidak membebankan rakyat.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, purata kadar taksiran baharu selepas penilaian semula di bawah satu peratus, namun masih lagi belum dimuktamadkan.

"Kerajaan Johor memberikan komitmen untuk melakukan penilaian semula terhadap cadangan kadar taksiran cukai harta baharu yang dibentangkan melibatkan lima PBT di negeri ini.

"Lima PBT tersebut adalah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) serta Majlis Perbandaran Pengerang (MPP)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Jafni berkata, pemilik harta di lima PBT berkaitan diberikan ruang mengemukakan bantahan kepada PBT sekiranya tidak berpuas hati terhadap nilaian harta mereka yang berasaskan Aras Nilaian tahun 2020.

Jelasnya, kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima maklum balas mengenai Notis Senarai Nilaian Baharu selaras Seksyen 141 Akta Kerajaan Tempatan [Akta 171] di lima PBT terbabit yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2024.

"Ini merupakan komitmen kerajaan negeri, meskipun terdapat keperluan menilai semula kadar taksiran cukai seperti termaktub dalam Seksyen 137(3) Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang memperuntukan Senarai Nilaian Baharu perlu dibuat setiap lima tahun sekali.

"Kali terakhir semakan tersebut telah dibuat di Johor, pada tahun 2013 iaitu 10 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri telah menangguhkan semakan kadar cukai yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun 2020 (seperti arahan KPKT) kerana mengambil kira Covid-19 ketika itu," ujarnya.