Indeks harga pengeluar naik 0.2 peratus pada September

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

INDEKS Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang, mencatat peningkatan 0.2 peratus pada September 2023 berbanding negatif 2.2 peratus pada Ogos 2023, kata Jabatan Perangkaan.

Ini merupakan kenaikan pertama selepas penurunan selama tujuh bulan berturut-turut sejak Februari 2023 berikutan kesan asas dan harga komoditi utama yang meningkat, katanya dalam kenyataan IHPR Pengeluaran Tempatan bagi September 2023 yang dikeluarkan pada Khamis.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, dari segi prestasi, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 3.2 peratus daripada susut satu peratus pada Ogos 2023 manakala perlombongan menokok 6.9 peratus daripada -3.8 peratus pada bulan sebelumnya.

"Kedua-dua sektor utiliti mencatatkan peningkatan, dengan sektor bekalan elektrik dan gas meningkat 0.5 peratus pada September 2023 daripada -0.1 peratus dalam bulan sebelumnya manakala bekalan air meningkat sebanyak 0.9 peratus daripada 2.5 peratus pada Ogos 2023,” katanya.

Mohd Uzir berkata, sektor pembuatan kekal dalam wilayah negatif bagi tempoh lima bulan berturut-turut dengan menguncup 0.8 peratus daripada -2.3 peratus pada Ogos lepas.

Dari segi perbandingan dengan negara lain, IHPR Amerika Syarikat naik 2.2 peratus berbanding 2.0 peratus pada Ogos 2023 iaitu yang tertinggi sejak April 2023 manakala indeks itu di Jepun juga meningkat 2.0 peratus, lebih perlahan daripada peningkatan 3.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Pada masa sama, katanya, harga pengeluar China terus turun 2.5 peratus berbanding penurunan 3.0 peratus pada bulan sebelumnya.

Inflasi pengeluar India juga mencatat penguncupan lebih kecil pada 0.3 peratus daripada -0.5 peratus pada Ogos 2023.

Artikel Berkaitan:

"Bagi asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 0.9 peratus pada September 2023 selepas tiada perubahan dicatatkan pada Ogos 2023, didorong terutamanya oleh sektor perlombongan yang meningkat sebanyak 5.6 peratus daripada 3.9 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Sektor pembuatan mencatatkan peningkatan kecil 0.8 peratus daripada -0.2 peratus pada Ogos 2023 manakala sektor bekalan elektrik dan gas ymenokok pada 0.4 peratus daripada -0.1 peratus sebelum ini.

Mohd Uzir berkata bagi suku ketiga 2023, IHPR Pengeluaran Tempatan kekal dalam wilayah negatif 1.4 peratus yang disumbangkan oleh sektor perlombongan (- 2.8%) dan pembuatan (-1.7 peratus).

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023, IHPR Malaysia turun sebanyak 2.1 peratus berbanding tahun lepas yang disebabkan oleh ketidaktentuan komoditi utama Malaysia, khususnya produk minyak sawit dan minyak mentah. - Bernama