Portal OpenDOSM NextGen capai 1 juta paparan

Mohd Uzir (tiga kanan) turut menyertai acara Larian D'Bendang bersama masyarakat setempat.
Mohd Uzir (tiga kanan) turut menyertai acara Larian D'Bendang bersama masyarakat setempat.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Portal OpenDOSM NextGen yang diperkenal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencapai 1 juta paparan pada Ahad selepas portal itu dilancarkan pada 12 Januari lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan memaklumkan medium itu menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.

"OpenDOSM NextGen ialah platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https:lopen.dosm.qov.my.

"Portal ini mencapai 1 juta views pada hari ini sejak dilancarkan pada 12 Januari 2023. Semoga portal ini terus memberikan manfaat statistik kepada semua," kata kenyataan itu sempena Majlis Penutup Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2023.

Tambah kenyataan itu, HSN berlangsung selama tiga hari itu menerima seramai 14,000 pengunjung manakala majlis penutup disempurnakan Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurut kenyataan itu, sambutan HSN disambut pada setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya statistik dalam kehidupan masyarakat dan negara.

Mohd Uzir (empat dari kanan) menyampaikan hadiah utama Pertandingan Debat Statistik dimenangi peserta dari USM.
Mohd Uzir (empat dari kanan) menyampaikan hadiah utama Pertandingan Debat Statistik dimenangi peserta dari USM.

"Selain itu, sambutan HSN memberi ruang kepada masyarakat untuk melihat keunikan dan kesenian statistik dengan melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh DOSM," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Ujar kenyataan itu, majlis sambutan 'Yuk Mampir' HSN 2023 mendapat sambutan meriah penduduk setempat terutamanya dari sekitar Sabak Bernam, Sekinchan dan Sungai Panjang.

"Pada kali ini, pelbagai program dan aktiviti dianjurkan antaranya Pertandingan Debat Statistik antara institusi pendidikan tinggi dan dimenangi Universiti Sains Malaysia (USM).

"Wawancara statistik turut diadakan bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Azman Dahlan manakala sesi literasi statistik pula menjemput bersama panel-panel DOSM bagi perkongsian pelaksanaan Banci Pertanian 2024 serta Penemuan Survei Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022," kata kenyataan itu.

Selain itu, HSN 2023 juga menganjur pelbagai aktiviti bersama penduduk setempat antaranya jualan industri kecil sederhana dan Jualan Ehsan Rahmah.

Pertandingan Bola sepak Piala Ketua Perangkawan Malaysia bawah 10 dan 12 tahun akan diadakan sebagai acara tahunan.
Pertandingan Bola sepak Piala Ketua Perangkawan Malaysia bawah 10 dan 12 tahun akan diadakan sebagai acara tahunan.

Turut mendapat sambutan adalah himpunan 1,000 motor klasik anjuran Persatuan Raiders Mania, cabutan bertuah, 'Soopa Doopa' dan pameran mini zoo.

Sementara itu, Mohd Uzir ketika berucap pada majlis penutup berkata, Pertandingan Bola sepak Piala Ketua Perangkawan Malaysia bawah 10 dan 12 tahun dan Larian D'Bendang akan dijadikan acara tahunan.

"Memandangkan sambutan hangat diterima dalam kalangan komuniti setempat dan sambutan HSN 2023 di peringkat DOSM dua acara ini akan diteruskan," katanya.

Majlis perasmian penutup turut dihadiri Timbalan Ketua Perangkawan (Program Sosial dan Pembangunan Teknikal), Nazaria Baharudin dan Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi), Datin Seri Rozita Talha.