Selangor manfaat peluang ekonomi baharu jayakan pelan RS-1

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor sebagai gedung ekonomi negara yang mempunyai wawasan sebagai pintu masuk ASEAN berada dalam posisi terbaik untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebagai gedung ekonomi negara, peluang tersebut dapat dicapai dengan mengukuhkan sistem dwifungsi kerajaan yang berteraskan rakyat dan mesra perniagaan.

“Ini amat penting bagi merealisasikan peluang yang dibangunkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) terutama tiga wilayah ekonomi baharu meliputi Wilayah Pembangunan Bersepadu Selatan (IDRISS).

“(Selain itu), Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) serta Gerbang Maritim Selangor (SMG) di sepanjang jajaran Sungai Klang,” kata Menteri Besar dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Dalam kenyataan sama, Menteri Besar turut mengulas sesi libat urus bersama Menteri Pelaburan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Selasa.

Beliau memaklumkan Selangor komited menjayakan prinsip panduan (guiding principle) NIMP 2030.

Ujarnya, dengan mengambil iktibar Krisis Kewangan Asia pada 1997, ketiadaan pengganti untuk menawarkan peluang kerja dalam bidang baharu menyebabkan negara bergantung kepada gaji rendah dan buruh asing.

“Kepentingan negeri dan persekutuan berada dalam hala tuju serta landasan sama terserlah apabila Kerajaan Selangor dan Kementerian Pelaburan menjayakan sesi libat urus bagi dua perkara.

Artikel Berkaitan:

“Pertama sebagai persiapan merangka Belanjawan Selangor 2024 dan kedua membuka pintu kepada kerjasama bagi industri negeri khususnya peluang baharu dalam NIMP 2030,” katanya.

Tambah Menteri Besar lagi, pelan induk yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lalu mewujudkan ekonomi yang mempunyai nilai tambah seperti bidang pembuatan, aeroangkasa, farmaseutikal dan industri halal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!