Prasarana muktamad sistem pembayaran terbuka Rapid Rail

Prasarana sedang memuktamadkan pelan pelaksanaan pembayaran terbuka untuk rangkaian Rapid Rail merangkumi laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang, selain MRT laluan Kajang dan Putrajaya serta Monorail. - Gambar hiasan Bernama
Prasarana sedang memuktamadkan pelan pelaksanaan pembayaran terbuka untuk rangkaian Rapid Rail merangkumi laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang, selain MRT laluan Kajang dan Putrajaya serta Monorail. - Gambar hiasan Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang memuktamadkan pelan pelaksanaan pembayaran terbuka untuk rangkaian Rapid Rail merangkumi laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya dan Ampang, selain transit aliran massa (MRT) laluan Kajang dan Putrajaya serta Monorail.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sistem baharu ini akan memperkenalkan penggunaan MyDebit dan kad kredit sebagai mod pembayaran tambahan di gantri, selain kaedah pembayaran sedia ada yang menggunakan kad Touch 'n Go ataupun token.

"Kerja-kerja 'design and development' (reka bentuk dan pembangunan) dijangka mula pada Mac 2024. Prasarana akan mengambil tempoh 11 bulan iaitu sehingga Februari 2025 untuk menyiapkan 50 peratus daripada gantri di setiap stesen untuk menerima kaedah pembayaran terbuka.

"Menjelang Ogos 2025, semua gantri di setiap stesen akan siap. Sekiranya perlu, sistem ini akan terus diperkembangkan dengan membolehkan penggunaan mod pembayaran lain seperti Kod QR dalam fasa pelaksanaan seterusnya," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban memaklumkan, penaiktarafan sistem tiket atau kutipan tambang automatik( AFC) kini hampir selesai untuk seluruh rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Komuter di Lembah Klang.

Beliau berkata, pengguna pengangkutan awam itu dapat menikmati kemudahan baharu berkenaan bermula pertengahan bulan depan.

“Semua 57 stesen KTMB Komuter di Lembah Klang dilengkapi alat pengimbas di gantri yang menyokong kaedah pembayaran terbuka termasuk kad kredit, kad debit, Touch 'n Go dan Kod QR melalui aplikasi mobile KTMB (KITS).

"Jumlah kos projek ini adalah sebanyak RM29 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu menjawab soalan tambahan berkenaan pemberian diskaun pembayaran terbuka khususnya meibatkan pengunaan kad debit dan kad kredit, Anthony menjelaskan, buat masa ini pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan atau My50 sudah menawarkan kadar diskaun terbaik.

"Kita sudah ada satu sistem untuk diskaun cukup baik iaitu My50, kad bulanan yang memberikan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa had di mana-mana penggunaan perkhidmatan awam selama 30 hari untuk RM50.

"Kerajaan komited untuk meneruskan program ini untuk belanjawan tahun depan. Bagi saya, ini cukup memadai, murah dan saya berani kata ini adalah 'multi pass' (pas berbilang) yang paling murah di dunia bukan saja di Malaysia tetapi seluruh dunia," katanya.