LTAM gagal tarik minat syarikat penerbangan

Setakat ini, LTAM masih beroperasi seperti biasa dengan menerima penerbangan sewa khas dan penerbangan menggunakan pesawat persendirian.
Setakat ini, LTAM masih beroperasi seperti biasa dengan menerima penerbangan sewa khas dan penerbangan menggunakan pesawat persendirian.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri belum menerima maklum balas daripada mana-mana syarikat penerbangan komersial untuk beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini, walaupun pelbagai insentif telah ditawarkan kepada mereka.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, tindakan mendiamkan diri pihak syarikat penerbangan komersial terlibat menunjukkan mereka tidak berminat selain beberapa faktor yang menyukarkan mereka berat menerima pelawaan tersebut.

"Faktor utama antaranya kedudukan LTAM berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan di KLIA pengguna mempunyai banyak pilihan syarikat penerbangan berbanding LTAM.

"Selain itu, permintaan pengguna di LTAM adalah terhad iaitu hanya tinggi pada musim cuti sekolah atau perayaan sahaja manakala pada hari biasa tidak ramai dan akan merugikan syarikat penerbangan berkenaan," katanya selepas Program Tinjauan Mesra Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) di sekitar Jonker Walk dan Banda Hilir di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Melaka memberi masa kepada mana-mana syarikat penerbangan komersial yang berminat beroperasi di LTAM hingga akhir bulan ini.

Beliau berkata, pada masa sama kerajaan negeri juga mencari alternatif bagi menarik minat syarikat penerbangan komersial terbabit dalam usaha memastikan LTAM dapat menawarkan perkhidmatan ke destinasi terpilih terutama menjelang TMM 2024.

Hameed berkata, setakat ini, LTAM masih beroperasi seperti biasa dengan menerima penerbangan sewa khas dan penerbangan menggunakan pesawat persendirian.

Pada awal bulan ini, media melaporkan kerajaan Melaka telah mengadakan perbincangan bersama tujuh syarikat penerbangan komersial antaranya AirAsia serta Batik Air untuk beroperasi di LTAM dan sedang menunggu maklum balas daripada syarikat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua syarikat penerbangan itu turut ditawarkan insentif khas, namun perlu menandatangani perjanjian bagi memastikan syarikat penerbangan yang bersetuju beroperasi di LTAM pada masa akan datang, dapat memberi komitmen dan tidak sewenang-wenangnya menamatkan operasi mereka. - Bernama