Syarikat penerbangan uruskan pengembara berstatus NTL

Proses penghantaran pulang pengembara yang dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) akan diuruskan syarikat penerbangan. - Foto hiasan
Proses penghantaran pulang pengembara yang dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) akan diuruskan syarikat penerbangan. - Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan mengembalikan punca kuasa untuk menguruskan proses penghantaran pulang pengembara yang dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) kepada syarikat penerbangan.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dicapai di dalam mesyuarat kabinet pada Rabu.

"Sebelum ini pengurusan penghantaran pulang dilakukan oleh pihak ketiga iaitu Mono Circle Sdn Bhd yang dilantik sejak 12 Februari 2015," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, keputusan tersebut selari dengan Bab 5 Konvensyen Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Akta Imigresen 1959 serta 1963.

"Ia menyatakan bahawa syarikat penerbangan bertanggungjawab menguruskan penghantaran pulang termasuk makan, minum dan tiket penerbangan pulang," katanya.

Beliau berkata, seramai 3,984,823 pengembara memasuki negara ini melalui Pintu Masuk Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 1) bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini.

"Bagi tempoh sama, seramai 14,977 pengembara dikenakan status NTL. Secara purata, seramai 80 pengembara ditolak dari memasuki negara ini setiap hari.

"Pada saat ini (sidang akhbar diadakan) terdapat 48 orang ditahan di bawah NTL," ujar Saifuddin.

Beliau berkata, tiga negara tertinggi merekodkan status NTL adalah Bangladesh, Pakistan dan India.

"Alasan dikenakan NTL adalah tiada tiket penerbangan pulang, alamat penginapan tidak jelas dan tidak mempunyai wang tunai mencukupi selain alasan keselamatan," katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution menegur laporan akhbar mengenai wanita China dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan Terminal 1 sebagai tidak tepat.

Katanya, wanita tersebut telah pulang jam 8.58 malam pada 4 Julai lalu bukan seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

"Media kena cermat dan hati-hati. Jangan petik sumber sebarangan," katanya.