Pelajar maut, nahas dengan lori ketika perjalanan ke sekolah

Pelajar Tingkatan Lima maut selepas motorsikal ditungganginya terbabit dalam nahas dengan sebuah lori di KM13.5 Jalan Kluang- Batu Pahat pada pagi Rabu.- Foto tular
Pelajar Tingkatan Lima maut selepas motorsikal ditungganginya terbabit dalam nahas dengan sebuah lori di KM13.5 Jalan Kluang- Batu Pahat pada pagi Rabu.- Foto tular
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam nahas dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 13.5 Jalan Kluang-Batu Pahat pada pagi Rabu.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 7.20 pagi itu, mangsa Shahrunizam Mohd Shamsul, 17 dalam perjalanan ke sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pelajar itu maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori yang sedang membuat pusingan 'U'.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dari arah Batu Pahat menghala ke SMK Sri Gading dan sebuah lori dari arah bertentangan telah membuat pusingan 'U'.

"Pelajar tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar tangki minyak diesel bahagian kiri lori berkenaan menyebabkan berlaku satu letupan kecil," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut Ismail, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Ppemandu lori yang berusia 33 tahun dan kelindannya berusia 24 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan.

"Pemandu lori telah ditahan dan perintah tahanan reman akan dipohon.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan awal air kencing ke atasnya didapati negatif," katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang awam yang melihat kejadian tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 07-94327704 untuk membantu siasatan," ujarnya.

Sebelum itu, rakaman video papan pemuka kenderaan (dashcam) berdurasi 30 saat tular di media sosial.