Seorang maut, tiga parah nahas kereta, lori

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Gunung Pulai, Kulai, pada Selasa.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Gunung Pulai, Kulai, pada Selasa.
A
A
A

KULAI - Seorang lelaki maut manakala tiga wanita cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Gunung Pulai, dekat sini pada Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Penolong Penguasa Bomba Fairuz Helmi Mohd Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 2.53 petang.

Katanya, enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan melibatkan kereta Perodua Kancil dinaiki semua mangsa berkenaan dengan lori jenis Hino.

"Pemandu Perodua Kancil, Baiduri Mohd Don, 53, tersepit di tempat duduk pemandu dan kita berjaya mengeluarkannya dengan menggunakan peralatan khas.

"Tiga penumpang Perodua Kancil, Hadijah Mazlan, 55; Nur Hellysya Errykah Herwan, 18, dan Suriani Othman, 47, cedera parah dan dihantar ke hospital," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, lelaki berkenaan yang tersepit meninggal dunia akibat cedera parah dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Pemandu lori berkenaan, Mursyidi Ibnor Kalam, 49, terselamat.

"Operasi itu yang diketuai Komander Operasi dari BBP Pekan Nanas, Pegawai Bomba Kanan II Azizan Aziz selesai pada jam 4.41 petang," katanya.