Pemandu lori maut dalam nahas tiga kenderaan

Keadaan dua lori yang terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di KM6 Jalan Lipis-Benta pada Isnin. - Foto Ihsan PDRM
Keadaan dua lori yang terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di KM6 Jalan Lipis-Benta pada Isnin. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

LIPIS - Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 6, Jalan Lipis-Benta di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor memberitahu, kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu melibatkan dua buah lori dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz.

Menurutnya, mangsa, Muhammad Redzuan Mohd Razid, 28, beralamat Parit Raja Darat, Muar meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa bersama seorang kelindan dari arah Gua Musang hendak ke Muar, Johor selepas selesai menghantar anak pokok durian.

"Sampai di tempat kejadian, lori tersebut dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebuah lori membawa muatan penyaman udara dan kelengkapan kerja dari arah belakang yang hendak masuk ke simpang kanan menuju ke Tokong Cina Penjom," kata beliau dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau, akibat dari pelanggaran tersebut, lori yang dipandu mangsa telah masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh Aruz dari arah bertentangan.

Jelas Azli, pemandu lori tersebut maut di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 34 tahun dan dua orang penumpang lori terbabit mengalami kecederaan ringan.

Tambah beliau, pemandu Aruz berusia 70 tahun dan penumpang SUV terbabit cedera ringan.

Artikel Berkaitan:

"Bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian Covid-19 diterima," kata Azli.

Ujar beliau, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.