KPDN serbu dua premis jual barangan tiruan

Pegawai KPDN memeriksa barangan yang disyaki tiruan dalam salah sebuah premis di Bukit Mertajam.
Pegawai KPDN memeriksa barangan yang disyaki tiruan dalam salah sebuah premis di Bukit Mertajam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas barangan tiruan bernilai RM62,087 dalam dua serbuan di premis perniagaan di sekitar Bukit Mertajam, di sini pada Selasa.

Pengarahnya, RS Jegan berkata, serbuan dilakukan jam 11 pagi itu hasil maklumat pemilik cap dagangan berdaftar barangan terbabit serta risikan awal yang dilakukan beberapa hari sebelum tindakan dilakukan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis-premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan barangan jenama Puma, Adidas, Nike, Louis Vuittion, Dior dan Chanel yang disyaki tiruan iaitu sejumlah 4,830 unit seluar, 190 unit baju, 510 unit sport bra.

"Turut ditemui 1,544 unit topi, 625 unit beg dan 369 unit minyak wangi pelbagai jenama.

"Kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 62,087," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Rabu.

Jegan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 102(1)(c), Akta Cap Dagangan 2019 iaitu melibatkan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Katanya, hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) ini, bagi individu denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap satu barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi pertubuhan atau syarikat denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap satu barang, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Jegan memberikan peringatan serta amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti menjual barang yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah, terutamanya alat keperluan rumah seumpama ini kerana boleh mengancam keselamatan pengguna.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati terutamanya apabila membeli alat keperluan rumah sama ada di premis fizikal atau secara dalam talian agar tidak mudah terpedaya selain tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan keselamatan pengguna itu sendiri.