Wan Saiful didakwa 18 tuduhan ubah wang haram hampir RM5.6 juta

Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram, hampir RM6 juta. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram, hampir RM6 juta. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) hampir RM5.6 juta, pada Ogos hingga November tahun lalu.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu membuat pengakuan terbabit selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut 13 pertuduhan, Wan Saiful, 48, sebagai Pengarah Syarikat WSA Advisory Group Sdn Bhd didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.64 juta dari akaun syarikat itu.

Ia didakwa dilakukan menggunakan cek dan dibayar kepada beberapa syarikat serta individu lain, antaranya bagi pembelian kenderaan Ford Ranger.

Bagi lima lagi pertuduhan, bekas Ketua Penerangan Bersatu itu didakwa menggunakan wang hasil aktiviti haram sebanyak RM3.93 juta kepada beberapa syarikat menerusi tujuh cek.

Semua kesalahan itu dilakukan di cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos hingga 13 November 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan ikat jamin mengguna pakai kadar yang ditetapkan bagi kes rasuah sebelum ini.

“Wang jaminan kes predikat (rasuah) ialah sebanyak RM400,000 dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya sekali bagi setiap dua bulan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful berkata, pihak pembelaan tidak membantah cadangan berkenaan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan perkara terbabit dan menetapkan sebutan kes pada 1 Disember depan.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan termasuk menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Mengikut pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

Dia juga juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.