JBPM Kelantan pertama miliki helipad sendiri

Abdul Wahab (empat dari kanan) merasmikan helipad di Ibu Pejabat JBPM Kelantan pada Selasa.
Abdul Wahab (empat dari kanan) merasmikan helipad di Ibu Pejabat JBPM Kelantan pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan menjadi jabatan bomba pertama di negara ini memiliki kemudahan landasan helikopter (helipad) sendiri.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Sri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, kemudahan itu akan melancarkan lagi kerja menyelamat di negeri-negeri sekitar Pantai Timur jika berlaku kecemasan atau bencana.

"Setakat ini, JBPM mempunyai tiga pangkalan udara rasmi iaitu di Subang, Selangor, Bertam (Pulau Pinang) bagi zon utara, Miri (Sarawak) untuk Borneo.

"Di Akademi JBPM Wakaf Tapai, Terengganu juga ada kemudahan helipad manakala Kelantan adalah satu-satunya ibu pejabat yang mempunyai kemudahan ini," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut (MTL) di Ibu Pejabat JBPM Negeri Kelantan di Tunjong di sini yang turut dihadiri oleh Pengarahnya, Zainal Madasin.

Abdul Wahab memberitahu, di negeri lain pihaknya hanya menggunakan padang biasa untuk pendaratan helikopter.

Abdul Wahab (dua dari kanan) beramah mesra dengan juruterbang semasa merasmikan helipad pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut (MTL) di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong, Kota Bharu yang turut dihadiri oleh Pengarahnya, Zainal (kanan).
Abdul Wahab (dua dari kanan) beramah mesra dengan juruterbang semasa merasmikan helipad pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut (MTL) di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong, Kota Bharu yang turut dihadiri oleh Pengarahnya, Zainal (kanan).

Ujarnya, kemudahan helipad itu bagi melancarkan operasi menyelamat dilakukan terutamanya pada musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

"Jika Kelantan terlebih dahulu dilanda banjir teruk maka pesawat akan ditempatkan di helipad di sini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Wahab berkata, JBPM turut mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa kementerian seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pengangkutan, Jabatan Perhutanan dan sebagainya.

"MoU ini untuk operasi memindahkan pesakit pedalaman ke hospital, lebuh raya terputus disebabkan banjir besar dan ada mangsa terperangkap.

"Termasuklah operasi menyelamatkan mangsa kemalangan dan mangsa banjir dari pedalaman," katanya.