Polis boleh guna budi bicara pendekkan tempoh pemakluman perhimpunan - Saifuddin

Saifuddin menjelaskan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur perlu memberi notis pemakluman lima hari sebelum perhimpunan berkenaan. - Foto Japen
Saifuddin menjelaskan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur perlu memberi notis pemakluman lima hari sebelum perhimpunan berkenaan. - Foto Japen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis boleh mempertimbangkan untuk menggunakan budi bicara bagi membenarkan penganjuran perhimpunan aman dalam tempoh 48 jam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur perlu memberi notis pemakluman lima hari sebelum perhimpunan berkenaan.

"Awalnya, Akta Perhimpunan Aman 2012 memerlukan penganjur memberi notis tujuh hari (sebelum tarikh perhimpunan). Kemudian akta itu dipinda pada 2019 di mana tempoh itu dipendekkan kepada lima hari.

"Secara spesifik apa yang dibangkitkan, apakah polis sedia untuk mengurangkan dari lima hari kepada 48 jam?

"Saya percaya polis boleh menggunakan budi bicara mengikut keadaan semasa dan berdasarkan kes.

"Sekarang permohonan untuk mengadakan himpunan solidariti begitu banyak sekali, saya percaya polis akan memudahkan pergerakan dan bukan menghentikan (perhimpunan itu)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan dari Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse, mengenai sama ada polis akan mempertimbangkan untuk memendekkan tempoh pemaklumkan dari lima hari kepada 48 jam, terutamanya ketika negara menunjukkan solidariti kepada Palestin.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut akan menyertai Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini sebagai tanda solidariti negara bersama rakyat Palestin. - Awani

Artikel Berkaitan: