JPJ Pahang kutip RM183,140 lelongan kenderaan sita

Sebahagian daripada 46 pembida yang mengikuti lelongan awam kenderaan lucut JPJ Pahang siri 2/2023 pada Selasa. (Gambar kecil: Kamarul Iskandar Nordin)
Sebahagian daripada 46 pembida yang mengikuti lelongan awam kenderaan lucut JPJ Pahang siri 2/2023 pada Selasa. (Gambar kecil: Kamarul Iskandar Nordin)
A
A
A

KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mencatat kutipan RM183,140 hasil Lelongan Awam Kenderaan Lucut Hak Siri 2/2023 pada Selasa.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, lelongan siri kedua tahun ini melibatkan 53 kenderaan dan 51 daripadanya berjaya dilelong dengan 46 pembida.

Menurutnya, bidaan tertinggi RM40,000 bagi kereta jenis BMW 520i tahun 2012 yang dibuka pada harga RM30,000 manakala bidaan terendah RM350 bagi sebuah motosikal jenis Demak EX90.

"Kenderaan sita yang dilelong kali ini melibatkan 31 motosikal, 14 kereta, lima kenderaan pelbagai guna (MPV), satu kenderaan pacuan empat roda dan dua van.

"Daripada jumlah itu, 10 daripadanya (empat motosikal, enam kereta) merupakan kenderaan skrap yang tidak boleh dilesenkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas acara lelongan itu di Ibu Pejabat JPJ Pahang, Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Kamarul Iskandar berkata, kenderaan yang dilelong kali ini merupakan kenderaan lucut hak atas pelbagai kesalahan termasuk kenderaan klon.

"Lelongan ini kali adalah yang kedua dan terakhir tahun ini selepas siri pertama pada 30 Mei lalu melibatkan 100 kenderaan dengan hasil kutipan hampir RM1 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!