JPJ lelong 55 kenderaan sita

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur akan melakukan acara lelongan siri 02/2023 membabitkan 55 kenderaan sita di Dewan Merpati JPJ Kuala Lumpur pada 11 Oktober depan.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, lelongan awam ke atas kenderaan yang dilucut hak itu bermula 9 pagi.

Menurutnya, kenderaan yang dilelong membabitkan 46 motosikal, tujuh kereta dan dua van.

"Jualan dokumen lelong dibuat pada 26 September hingga 10 Oktober bermula jam 9 pagi hingga 3 petang dan diingatkan semua pembida untuk membawa kad pengenalan pada pembelian ini.

JPJ KL akan membuat lelongan 55 kenderaan sita pada 11 Oktober depan.
JPJ KL akan membuat lelongan 55 kenderaan sita pada 11 Oktober depan.

"Dokumen ini tidak dijual pada hari (11 Oktober) pelelongan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, orang awam yang ingin membida kenderaan yang berstatus scrap hendaklah mempunyai sijil pendaftaran berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia.

Jelasnya, sijil tersebut hendaklah tidak tamat tempoh dan di bawah bidang 221901 (Membeli Barang Lusuh Tanpa Permit) atau 221902 (Membeli Barang Perlu Permit).

Artikel Berkaitan:

"Orang awam yang berhasrat membida kenderaan tersebut boleh hadir ke sesi pemeriksaan awam yang diadakan pada 9 dan 10 Oktober dari jam 10.30 pagi hingga 3.30 petang," ujarnya.

Katanya lagi, orang awam dijemput untuk menyertai lelongan kenderaan yang disita oleh JPJ Kuala Lumpur ini dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Unit Sita JPJ Kuala Lumpur di talian 03-41450842 atau talian umum 03-41450800.