Perak ketatkan peraturan pendaftaran tanda pengenalan haiwan

Sandrea (empat dari kiri) bersama Ahmad Suqairy (empat dari kanan), Ahmad Roslan (tiga dari kanan) dan Mohamad Razif (dua dari kiri) yang selesai menandatangani MoU Operasi Bersepadu Haiwan Merayau dalam satu majlis di Kampar pada Selasa.
Sandrea (empat dari kiri) bersama Ahmad Suqairy (empat dari kanan), Ahmad Roslan (tiga dari kanan) dan Mohamad Razif (dua dari kiri) yang selesai menandatangani MoU Operasi Bersepadu Haiwan Merayau dalam satu majlis di Kampar pada Selasa.
A
A
A

KAMPAR - Kerajaan Perak akan mengetatkan peraturan pendaftaran tanda pengenalan kekal terhadap ternakan dan anjing liar bagi menangani isu haiwan merayau.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, langkah itu penting bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pemilik yang membiarkan haiwan mereka merayau hingga mengancam keselamatan orang awam terutama pengguna jalan raya.

"Cabaran kita adalah pemasangan tanda pengenalan ini yang kadangkala mengikut peraturan dan tidak. Jadi kita akan tinjau dan mengetatkan (peraturan) bagi anjing dan haiwan ternakan.

"Tanda pengenalan ini memastikan tindakan diambil terhadap tuannya. Inisiatif ini memerlukan penyertaan orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani haiwan merayau sekali gus menjaga keselamatan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Operasi Bersepadu Haiwan Merayau antara Majlis Daerah Kampar (MDKpr), Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dan Majlis Daerah Tapah (MDT) di sini pada Selasa.

Hadir sama, Yang Dipertua MDKpr, Ahmad Suqairy Alias; Yang Dipertua MDBG, Mohamad Razif Ramli dan Yang Dipertua MDT, Ahmad Roslan Mohamed Nazir.

Mengulas lanjut, Sandrea berkata, inisiatif rentas sempadan antara tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap isu ternakan merayau dan anjing terbiar.

"Kes kemalangan jalan raya dan aduan melibatkan kedua-dua isu ini semakin meningkat dalam kawasan PBT berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Operasi tidak dapatkan dilaksanakan secara kerap kerana menghadapi kekangan tenaga, logistik serta peralatan.

"Jadi kerjasama ini membolehkan tiga PBT terlibat melaksanakan operasi bersepadu dengan berkongsi kepakaran, bantuan tenaga anggota, koordinasi operasi dan penguatkuasaan undang-undang," katanya.

Tambah beliau, kerjasama itu akan diperluaskan ke PBT lain selain mengadakan kempen kesedaran dan latihan bersama.