‘Pendaftaran perkahwinan bukan Islam tiada kaitan agama’ - JPN

Jabatan Pendaftaran Negara
Jabatan Pendaftaran Negara
A
A
A

SHAH ALAM - Pendaftaran perkahwinan sivil melibatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail seperti yang tular di media sosial pada Rabu tiada kaitan dengan ritual agama dan adat sesuatu kaum.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan memaklumkan, pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164 dan ia dibuat bersempena Majlis Sambutan Jubli Intan yang diadakan di Pejabat JPN, Putrajaya.

Menurutnya, Ketua Pengarah JPN, Timbalan Ketua Pengarah JPN, Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri termasuk kakitangan JPN turut diberikan kuasa tersebut.

“JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran dan merekodkan maklumat perkahwinan serta perceraian bagi pasangan bukan Islam selaras dengan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].

“Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) merupakan individu yang bertanggungjawab mendaftar perkahwinan pasangan bukan Islam.

“Proses pendaftaran tersebut tidak menyerupai adat sesuatu kaum dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana ritual keagamaan,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Sebuah video tular di media sosial melibatkan Menteri Dalam Negeri yang didakwa mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan Islam di Pejabat JPN Putrajaya.

Menerusi rakaman berdurasi 22 saat itu menyaksikan beliau mendaftarkan perkahwinan sivil dua pasangan yang dipilih oleh JPN.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata.

Kata kenyataan itu, sesi tersebut diadakan sebagai acara istimewa untuk pasangan terpilih dalam sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun.

“Orang ramai perlu berhenti menyebarkan maklumat tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca bagi memastikan ketenteraman negara terus terpelihara,” kata kenyataan itu.