TMJ nasihat Pan-gon

Dari kiri: Tunku Ismail, Kim Pan-gon
Dari kiri: Tunku Ismail, Kim Pan-gon
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihati pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk tidak hanya mementingkan kepada minit permainan semata-mata sebaliknya turut melihat kualiti yang dimiliki pemain.

Menurut Tunku Ismail, dua pemain JDT iaitu Syafiq Ahmad dan Syahmi Safari sepatutnya berada dalam skuad Harimau Malaya berdasarkan kualiti walaupun kurang mendapat minit permainan bersama Harimau Selatan.

Tunku Ismail bertitah, Pan-gon sepatutnya tidak menggunakan faktor minit permainan dan mengamalkan sikap pilih kasih dalam pasukan Harimau Malaya.

"Saya ingin pesan kepada Pan-gon jangan lupa kepada Syafiq Ahmad dan Syahmi Safari. Dua pemain ini patut ada (Syahmi) di pertahanan kanan untuk cover Matthew Davies dan Syafiq sebagai penyerang.

"Kami tidak pernah kecewa apabila masukkan kedua pemain ini kerana mereka merupakan pemain yang memberikan segalanya. Apabila saya bangkitkan benda ini, jurulatih katakan ia berkaitan minit perlawanan.

"Kalau nak kata minit perlawanan, Akhyar Rashid kurang minit perlawanan sebab tempat dia di JDT adalah Fernando Forestieri, tetapi apabila main bersama Harimau Malaya, dia menyerlah dan jaringkan gol," titah baginda dalam rancangan temubual Nindia bola di Astro Arena.

Tunku Ismail bertitah, latihan yang diterima semua pemain adalah berintensiti tinggi dan tidak akan berdepan masalah sekiranya dipilih untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.

"Kalau nak tengok hanya pada minit, saya cadangkan Pan-gon ambil semua pemain yang ada dalam pasukan PDRM yang main 90 minit setiap perlawanan.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi, kalau nak kualiti pemain, JDT ada ramai dan dia sepatutnya menggunakan sepenuhnya (pemain JDT)," titah baginda.

Dalam pada itu, Tunku Ismail juga hairan apabila pemain seperti Feroz Baharuddin dan Afiq Fazail tidak dipilih Pan-gon kerana kedua-dua pemain itu amat bagus bersama JDT.

"Bagi saya dia (Feroz) merupakan pemain pertahanan terbaik berdasarkan statistik dan satu hari nanti dia akan jadi kapten JDT.

"Saya juga suka dengan Afiq Fazail dan saya terkejut kenapa dia tidak terpilih. Bagi saya beberapa pemain tengah dalam Harimau Malaya ketika ini tidak lagi relevan.

"Pan-gon kena buat penilaian semula untuk tengok siapa yang layak berada di situ (bahagian tengah)," titah baginda.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!