‘Jangan kita tambah pening Pan-gon’

Laporan Sukan Sinar pada Rabu. Gambar kecil: Jamal Nasir
Laporan Sukan Sinar pada Rabu. Gambar kecil: Jamal Nasir
A
A
A

TEGURAN pemilik kelab Johor Darul Tazim(JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap pengendali skuad bola sepak negara Kim Pan-gon disifatkan panduan dalam memastikan Harimau Malaya terus maju pada masa depan.

Namun di sebalik itu, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan pengendali kelahiran Korea Selatan tersebut lebih mengetahui elemen yang diperlukan dalam memantapkan skuad Harimau Malaya.

“Pan-gon dibantu barisan kejurulatihannya telah melihat secara keseluruhan permainan pemain sebelum dipilih menggalas cabaran pasukan negara.

“Dalam isu ini mungkin Pan-gon melihat pemain yang mendapat minit perlawanan bersama kelab tidak menepati ciri-ciri yang diperlukannya dalam memperkuatkan pasukan kebangsaan

“Sebaliknya pemain yang kurang mendapat minit permainan bersama kelab lebih menepati ciri-ciri taktikal yang mahu diterapkan Pan-gon,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Tunku Ismail sebelum ini menyarankan Pan-gon untuk tidak hanya mementingkan kepada minit permainan semata-mata, sebaliknya turut melihat kualiti yang dimiliki pemain.

Tunku Ismail berkata, dua pemain Harimau Selatan - Syafiq Ahmad dan Syahmi Safari sepatutnya berada dalam skuad kebangsaan berdasarkan keupayaan semasa mereka.

Pada masa sama, Jamal Nasir berharap cadangan penambahbaikan skuad kebangsaan perlu bersifat yang dapat membantu Pan-gon meningkat semula prestasi pasukan negara selepas pasca Pestabola Merdeka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, anak-anak buah Pan-gon sebelum ini telah pun menunjukkan peningkatan cuma prestasi dalam saingan Pestabola Merdeka memerlukan penambahbaikan segera.

“Jadi kita perlu bantu Pan-gon dalam menyediakan pasukan yang mantap sebagai persediaan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, dengan pilih pemain terbaik dalam kalangan yang baik-baik. Sebenarnya, bukan senang tugas dia.

“Saya percaya Pan-gon pun sedang pening kepala dengan persembahan yang dipamerkan skuad kebangsaan di Pestabola Merdeka baru-baru ini.

“Jangan kita tambah pening Pan-gon lagi dengan perkara-perkara yang remeh-temeh, sebaliknya teruskan beri sokongan kepada dia untuk build up semula skuad kebangsaan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!