Disangka migrain rupanya tumor otak

Zainuddin bersama anaknya, Siti Nur Aisyah duduk di samping Zaipah ketika ditemui Sinar Harian, di Kampung Kubang Kekura, Paloh di Kuala Terengganu.
Zainuddin bersama anaknya, Siti Nur Aisyah duduk di samping Zaipah ketika ditemui Sinar Harian, di Kampung Kubang Kekura, Paloh di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita tidak menyangka sakit pada bahagian kepala yang dialami sejak empat bulan lalu menjadi petanda dia menghidap ketumbuhan atau tumor pada otak.

Zaipah Abdul Majid, 38, dikatakan mengalami migrain biasa setelah hampir empat bulan berulang alik ke hospital dan klinik swasta.

Ibu kepada dua cahaya mata itu bagaimanapun disahkan menderita penyakit tersebut selepas menjalani ujian pengimejan resonan magnetik (MRI) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 11 Oktober lalu.

"Saya mula sakit sejak Ramadan lalu. Waktu tu dah ada gejala sakit kepala berpanjangan. Leher tak boleh berpaling ke kiri atau kanan. Waktu sembahyang pun tak boleh sujud dengan betul sebab rasa sakit sangat.

"Saya tak sangka pula ada tumor otak. Sebab doktor yang rawat sebelum ni kata saya hanya alami migrain biasa dan dipengaruhi keadaan cuaca panas," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah sewanya di Kampung Kubang Kekura, Paloh, di sini, pada Isnin.

Menurut Zaipah, dia kini tidak mampu membuat kerja-kerja rumah dan mengharapkan sepenuhnya bantuan suami termasuk untuk menguruskan anak-anak.

"Saya sekarang dah tidak boleh berdiri lama dan penglihatan mula kabur," ujarnya.

Sementara itu, suaminya, Zainuddin Ngah, 42, yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, sudah berbulan dia tidak boleh keluar bekerja kerana perlu menjaga isterinya itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya dah lama tak dapat buat kerja di luar sebab bimbang nak tinggalkan dia sorang diri di rumah sebab dia pernah jatuh di dalam bilik air dan pengsan.

"Bila dah tak dapat bekerja ni rasa buntu sangat mana nak dapat duit untuk tampung belanja keluarga kira-kira RM2,000 pada setiap bulan tidak termasuk perbelanjaan luar jangkaan.

"Saya perlu bayar sewa rumah sebanyak RM150 sebulan. Dah tiga bulan tertunggak, termasuk bil air dan elektrik. Sekarang barang-barang makanan, bahan mentah pun mahal sangat, itu yang menambahkan lagi tekanan kepada saya," ujarnya.

Pasangan suami isteri itu dikurniakan dua anak iaitu Muhammad Nasrullah, 10, dan Siti Nur Aisyah, 6.

Jelas Zainuddin, dia kini menjalankan sepenuhnya tugas isterinya bermula dengan menguruskan anak-anak ke sekolah, memasak dan membantu menjaga dan memandikan isterinya.

Justeru, dia berharap supaya sebuah rumah baharu dapat dibina di atas rumah pusaka miliknya suatu hari nanti bagi meringankan bebanan dialami.

"Sebenarnya ada sebuah rumah pusaka yang dibina di atas tanah keluarga saya. Kedudukannya dekat dengan rumah ini tetapi sudah terlalu uzur dan tidak boleh diduduki.

"Saya harap sangat dapat bantuan dari mana-mana pihak untuk membina sebuah rumah baharu di sini. Sekurang-kurangnya saya sudah tidak menyewa rumah lagi " katanya.