Melaka dipilih tuan rumah Hari Pelancongan Dunia 2025

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

MELAKA - Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Dunia 2025 (WTD2025) merupakan satu pengiktirafan besar yang bakal menyaksikan negeri itu menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bagi menjayakan acara berkenaan.

"WTD2025 yang diadakan di Melaka ini menerusi pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah oleh Pertubuhan Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), justeru kita tidak boleh mensia-siakan kepercayaan dan peluang menganjurkan acara ini.

"Ia termasuk usaha awal dengan menubuhkan sekretariat WTD2025 dalam memastikan penganjuran itu memberi impak positif, berjalan dengan lancar bagi menerima 150 ketua negara UNWTO berkampung di Melaka," katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Seni dan Budaya Negeri (ASBN) Melaka 2022/2023 yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Pengukuhan Seni dan Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Suhaimi Abdul Rahim dan Pengarah JKKN negeri Ezlina Alias.

Abdul Razak berkata, beliau mewakili kerajaan negeri menzahirkan penghargaan kepada Motac yang sebulat suara menamakan Melaka dan diumum sebagai tuan rumah dalam Perhimpunan Agung UNWTO di Uzbekistan, baru-baru ini.

Menurutnya penganjuran WTD2025 itu juga dilihat akan menjadi kesinambungan kepada usaha negeri itu menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan secara tidak langsung turut memainkan peranan besar dalam menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

WTD2025 yang dijadualkan berlangsung pada 27 September 2025 dengan 'Tourism and Sustainable Transformation', bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat antarabangsa mengenai kepentingan pelancongan dan nilai sosial, budaya, politik dan ekonomi sejagat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Razak berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan Institut Dondang Sayang di Perkampungan Hang Tuah di Duyong di sini pada tahun depan bagi memartabat dan memastikan warisan seni budaya masyarakat Melaka itu kekal terpelihara.

Beliau berkata, cadangan mengenai institut itu kini dalam fasa akhir untuk mendapatkan kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

"Kita berharap dengan penubuhan institut ini nanti ia akan dimanfaatkan generasi muda selain mendapat sambutan pelajar dari luar negara untuk bersama menimba ilmu dan mendalami kesenian yang ada pada irama Dondang Sayang," katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan sebanyak 19 individu menerima anugerah dalam pelbagai kategori, dengan penghargaan tertinggi iaitu Anugerah Seni Budaya Negeri Melaka dinobatkan kepada Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara Tan Sri Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar. - Bernama