Ramai pemimpin dunia pentingkan diri demi sokongan kuasa besar - Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ramai pemimpin dunia tidak menghiraukan untuk memberi maklum balas atau mengecam tindakan rejim Zionis terhadap Palestin kerana mempertahankan sokongan negara-negara kuasa besar terhadap mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, malah golongan berkenaan menyokong kekejaman yang dilakukan Israel atas alasan perjuangan.

"Ramai pemimpin dunia apabila ada pihak yang mengkritik (tindakan) Israel, mereka tidak peduli sama sekali. Yang diutamakan adalah sokongan daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan lain-lain. Itu sahaja yang mereka ambil berat.

"Mereka tidak pernah menegur Israel, malah menyokong tindakan yang dibuat walaupun bercanggah dengan undang-undang antarabangsa. Itu sikap yang ada pada kebanyakan pemimpin dunia," katanya dalam program 'Di Sebalik Isu Bersama FY: Al-Aqsa, Ke Mana Akhirnya' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Turut diundang sebagai panelis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan bekas Pegawai Kanan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral (B) Mohd Anas Hassan manakala Finaz Yunus bertindak sebagai hos rancangan.

Dalam pada itu Dr Mahathir berpandangan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika ini tidak dilihat berfungsi dalam isu peperangan yang berlaku kerana menjaga kepentingan sendiri.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Nadir Al-Nuri (kiri), Dr Mahathir (tengah) dan Mohd Anas pada program 'Di Sebalik Isu Bersama FY: Al-Aqsa, Ke Mana Akhirnya' di Studio Sinar Harian pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/ASRILASWANDI SHUKOR.
Muhammad Nadir Al-Nuri (kiri), Dr Mahathir (tengah) dan Mohd Anas pada program 'Di Sebalik Isu Bersama FY: Al-Aqsa, Ke Mana Akhirnya' di Studio Sinar Harian pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/ASRILASWANDI SHUKOR.

"Saya tidak nampak (fungsi) PBB, mereka hanya berfungsi dalam isu perubatan dan sebagainya tetapi (melibatkan) politik, mereka tidak berjaya.

"Ini kerana apabila satu cadangan dibuat dan sekiranya tidak disukai oleh mana-mana satu daripada lima (negara) kuasa besar, boleh menafikan hak seluruh PBB itu sendiri," katanya.

Sementara itu beliau turut menjelaskan, konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin juga gagal untuk dibawa ke Mahkamah Antarabangsa susulan tidak mendapat persetujuan bersama.

"Mahkamah Antarabangsa mempunyai satu syarat, hanya boleh bicara sekiranya dua pihak bersetuju untuk diserah kepada mahkamah.

"Contoh apabila kita mempunyai masalah berkaitan sempadan dengan Indonesia, mereka setuju bawa ke mahkamah, maka boleh dibicara. Kalau Malaysia sahaja, Mahkamah Antarabangsa tidak boleh berfungsi. Begitu sebaliknya," ujarnya.

Mengenai hubungan dengan Israel di masa hadapan, Dr Mahathir menegaskan, walaupun beberapa negara antaranya Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Turkiye telah menormalisasikan hubungan dengan Zionis, Malaysia tidak perlu mengikut jejak langkah negara-negara berkenaan.

"Saya tidak nampak apa-apa faedah untuk kita ada hubungan dengan Israel. Ilmu yang kita nak tuntut bukan ada dengan mereka, lebih kepada Jepun, Korea dan China. Tetapi ada juga Yahudi yang menentang Israel dan dengan orang itu, kita boleh bersahabat.

"Saya biasa jumpa golongan itu di London, mereka sokong perjuangan kita melawan Israel," katanya.