Kumpulan Jakel dan Ariani sumbang RM500,000 kepada Palestin

Mohamed Faroz (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Norma bagi digunakan rakyat Palestin menghadapi situasi sukar pada masa ini.
Mohamed Faroz (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Norma bagi digunakan rakyat Palestin menghadapi situasi sukar pada masa ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dua syarikat ternama negara, Jakel Tekstil dan Ariani tampil memberi sumbangan kepada Palestin sebagai tanda sokongan kepada rakyat di bumi bergolak tersebut.

Jakel Tekstil menghulurkan sumbangan berjumlah RM300,000, manakala pengeluar tudung jenama Ariani menyumbang RM200,000.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, inisiatif menyalurkan sumbangan tersebut adalah tanda sokongan dan keprihatinan syarikat itu kepada nasib rakyat Palestin.

Beliau berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda solidariti Jakel ke atas bumi Gaza, seterusnya menentang kezaliman.

"Inisiatif ini adalah satu tanda kebersamaan, kasih sayang dan solidariti kami di Jakel untuk saudara seislam di Gaza," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dua sumbangan berjumlah RM500,000 itu telah disalurkan kepada Tabung Viva Palestina Malaysia di ibu pejabat Kumpulan Jakel, dekat sini pada Isnin.

Sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Pengasas Viva Palestina Malaysia, Puan Seri Norma Hakim.

Tambah Mohamed Faroz, dalam satu usaha kolektif melalui kerajaan Malaysia, Kumpulan Jakel turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM3 juta kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan oleh Kementerian Luar.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, sumbangan itu bukan sahaja mencerminkan sokongan berterusan Jakel kepada usaha kemanusiaan di Palestin, tetapi ia juga sebagai menyokong usaha Malaysia membantu rakyat yang ditimpa kesusahan.

"Semoga usaha ini menjadi sebagai peringatan mendalam bahawa komitmen Malaysia terhadap perjuangan Palestin tetap kukuh dan tidak berbelah bagi," ujarnya.

Jelasnya, peperangan di Palestin menjadikan keadaan semakin mendesak apabila Israel melakukan serangan ke atas kemudahan awam seperti hospital, sekolah, masjid, dan gereja.

Tegasnya, perbuatan biadab tersebut ternyata telah melanggar undang-undang peperangan antarabangsa.

Katanya, selain banyak nyawa terkorban syahid, kemudahan dan bantuan perubatan berhadapan situasi getir apabila hospital dibedil pihak Zionis Israel.

"Dalam menghadapi tragedi menyayat hati tersebut, ia telah mengundang perhatian pelbagai pihak antarabangsa.

"Banyak negara telah tampil untuk membantu rakyat Palestin yang menghadapi kesukaran bekalan asas seperti air, elektrik, makanan, dan perubatan.

"Kami di Jakel juga terpanggil untuk menghulurkan bantuan dan ia diharap memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan," ujarnya.