Pas perlu henti berangan jatuhkan kerajaan

Asmuni Awi
Asmuni Awi
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menempelak kenyataan pemimpin Pas yang begitu yakin akan mentadbir kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, realitinya perkara itu tidak akan berlaku kerana pentadbiran kerajaan Perak oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kukuh.

Menurutnya, selain itu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terikat dengan undang-undang yang menghalang mereka melompat parti.

"Pas seharusnya berhenti berangan. Mereka perlu menerima hakikat keputusan yang dipilih rakyat yang tidak mahu Pas memerintah negeri ini. Tunggulah sehingga PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang untuk jadi kerajaan.

"Hormatilah kehendak rakyat. Biar kerajaan sedia ada meneruskan pentadbiran tanpa gangguan daripada mana-mana pihak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Perak, Mohd Fakhrudin Abd Aziz seperti dilaporkan media bahawa Pas mengharapkan mereka dapat memerintah Perak dalam masa terdekat.

Perkara itu dibangkitkan ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-69 sebagai perwakilan dari Perak.

Dalam pada itu, Asmuni turut mencabar Mohd Fakhrudin mengemukakan bukti dakwaan bahawa Islam, raja Melayu dan bahasa Melayu diancam secara halus dan terancang oleh individu serta organisasi tertentu ketika ucapan perbahasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya cabar dia (Mohd Fakhrudin) kemuka bukti siapa yang membuat ancaman tersebut dan laporkan polis jika benar seperti yang dikatakan. Dedahkan siapa petualang itu dan bukan serkap jarang.

"Jika tiada bukti dikemukakan sehingga Isnin, saya akan minta Pemuda Amanah Perak buat laporan polis kerana kenyataan itu sengaja mahu menakutkan rakyat," katanya.

Menerusi laporan media (Utusan) pada Sabtu, Mohd Fakhrudin turut mendedahkan terdapat desakan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimansuhkan bagi menghalang usaha bagi memartabatkan undang-undang syariah dan institusi mahkamah syariah.