'Semua bersolidariti, pohon maaf jika ada kesilapan'

Antara peserta yang hadir pada Himpunan 'Freedom For Palestine' di Dataran Merdeka pada Ahad.
Antara peserta yang hadir pada Himpunan 'Freedom For Palestine' di Dataran Merdeka pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiap lapisan masyarakat bersolidariti menentang kekejaman Israel dalam Himpunan 'Freedom For Palestine' di Dataran Merdeka pada Ahad.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) Dr Fauziah Mohd Hasan berkata, ramai peserta yang hadir dalam himpunan itu terdiri daripada berbilang kaum, bangsa dan agama.

"Apa yang berlaku hari ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan perkara dilalui oleh saudara kita di Gaza," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya berharap perbuatan 'genocide' ke atas rakyat Palestine dihentikan dan membenarkan bantuan kemanusiaan yang secukupnya dihantar ke negara itu secara berterusan.

"Saya difahamkan selepas 20 trak melalui lintasan Rafah, mereka telah menutup sempadan kawasan itu," katanya.

Menurutnya, pihak Viva Palestina Malaysia dan MyCARE mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kehadiran peserta.

"Kami juga ingin minta maaf jika ada kesilapan dan kekasaran yang berlaku, kami perlu menjaga keamanan perhimpunan supaya usaha bantuan kemanusiaan tidak tergugat," katanya.

Himpunan aman itu anjuran Viva Palestina Malaysia dan MyCARE.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Fauziah berkata, larangan peserta menunjukkan sepanduk bersifat provokasi adalah daripada pihak berkuasa.

"Pihak berkuasa telah memberi arahan agar para peserta tidak menunjukkan poster bersifat provokasi," katanya.

Fauziah berkata, penganjur turut bertakbir di atas pentas bersama dengan peserta pada akhir himpunan aman itu.

"Takbir Allahuakbar berkumandang selepas bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berucap pada akhir himpunan itu," katanya.