Tiada tempat selamat di Gaza - Pengurus MyCARE Gaza

Rakyat Palestin memeriksa kerosakan di sekitar Gereja Ortodoks Yunani Saint Porphyrius berikutan serangan udara semalaman di Gaza. - Foto EPA
Rakyat Palestin memeriksa kerosakan di sekitar Gereja Ortodoks Yunani Saint Porphyrius berikutan serangan udara semalaman di Gaza. - Foto EPA
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Saudaraku di seluruh dunia. Kami ingin memaklumkan anda, keadaan kami tidak baik," kata Pengurus MyCARE Gaza, Dr Ziad Shehada.

Kali terakhir Ziad melaporkan situasinya di Semenanjung Gaza adalah tiga hari lepas.

Beliau berkata, dari pagi hingga malam terdapat pergerakan orang ramai di jalanan, sama ada untuk mendapatkan keperluan harian buat keluarga atau mencari tempat selamat.

Beliau juga telah kehabisan petrol dan gas memasak di rumah selain kedai roti utama telah hancur dalam serangan udara terbaru.

"Setiap hari anak-anak saya terpaksa beratur tiga hingga lima jam untuk mendapatkan sebeg roti. Tiada air bersih dan apa yang tinggal adalah air tercemar dan saya sedang mencari air bersih untuk anak saya yang sakit," katanya menerusi video di Facebooknya, semalam.

Ziad menggunakan radio lama milik datuk dan neneknya yang menggunakan bateri biasa untuk mendapatkan perkembangan terkini situasi di situ.

Video itu turut memaparkan Ziad terpaksa berhenti bercakap seketika disebabkan oleh bunyi letupan berdekatan dan kemudiannya berkata "tiada tempat selamat di Gaza."

Beliau berkata, aktiviti pengeboman memuncak selepas 10 malam hinggalah pagi dengan letupan dan pengeboman berlaku setiap minit.

Artikel Berkaitan:

"Kami fikir inilah situasi terburuk, seperti perang dunia ketiga. Mereka memusnahkan hospital, masjid dan orang awam," katanya.

Ziad turut berbincang dengan pembekal untuk bersiap sedia dengan bekalan keperluan harian terutama apabila sempadan Rafah dibuka, untuk membolehkan orang ramai mendapatkan bantuan segera.

Sementara itu, susulan pengeboman sebuah gereja yang menjadi sasaran terkini Zionis di Semenanjung Gaza malam tadi, seorang aktivis Palestin Abeer Z Barakat berkata, "ini bukan perang melawan Islam tetapi semua rakyat Palestin, tanpa mengira agama mereka."

Meluahkan perasannya dalam Facebook, beliau berkata, kira-kira 400 penganut Kristian Gaza dan jiran mereka berlindung di gereja ketiga tertua di dunia itu ketika bangunan itu diserang.

"Anda masih fikir ini perang menentang Islam? Atau anda juga memberikan alasan seperti mereka (pengeboman hospital) bahawa gereja adalah perisai manusia?" katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober lepas telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa. - Bernama