OIC luluskan 15 perkara untuk lumpuhkan Israel

Malaysia menegaskan bahawa apa yang berlaku di Gaza ialah satu jenayah genocide (pembunuhan beramai-ramai) bukan bermula pada 7 Oktober tetapi sejak berdekad lamanya. - Foto AFP, gambar kecil: Syed Ibrahim
Malaysia menegaskan bahawa apa yang berlaku di Gaza ialah satu jenayah genocide (pembunuhan beramai-ramai) bukan bermula pada 7 Oktober tetapi sejak berdekad lamanya. - Foto AFP, gambar kecil: Syed Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meluluskan 15 perkara membabitkan langkah yang diperlukan untuk memaksa Israel menghentikan semua pelanggaran, serangan dan jenayah.

Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ia adalah usaha memberikan perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin daripada serangan berterusan oleh rejim Israel dan puak penjajah melampau.

“Malaysia menegaskan bahawa apa yang berlaku di Gaza ialah satu jenayah genocide (pembunuhan beramai-ramai) bukan bermula pada 7 Oktober tetapi sejak berdekad lamanya.

“Dengan pengeboman Hospital Al-Ahli di Gaza, Malaysia menegaskan bahawa kalimah kutukan wajib diterjemah kepada tindakan tuntas untuk menghentikan pembunuhan dahsyat dan mengheret Israel ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa tetapi lebih buruk lagi iaitu menyongsang hati nurani kemanusiaan yang asas.

Ujarnya, sebarang permusuhan dengan rakyat Palestin yang tidak berdosa, tindakan ketenteraan sembrono dan melampau, politik perampasan dan pengilhakan haram (illegal annexation) perlu ditamatkan termasuk dasar apartid oleh rejim Israel.

“Pada ketika ini, sikap dwi-standard masyarakat antarabangsa amatlah ketara, berbeza dalam usaha meraih sokongan menentang Rusia.

“Sewajibnya ada usaha untuk mewujudkan koridor kemanusiaan yang selamat dan bebas ke Gaza supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan segera.

Artikel Berkaitan:

Jalur Gaza kini adalah bencana kemanusiaan dunia yang terburuk,” jelasnya.

Menurutnya, Malaysia dijangka akan terus berhubung secara berasingan dengan negara lain dalam beberapa hari ini dalam usaha menamatkan krisis di Gaza.

Katanya, wakil rakyat juga perlu bersatu hati sehingga Israel menghentikan serangan tidak berperikemanusiaan mereka.