Tiga tertuduh kes culik warga Palestin didakwa ubah wang haram

Nidarahayu (kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram. - Foto Bernama
Nidarahayu (kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri dan seorang lelaki yang sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas 19 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM250,000.

Nidarahayu Zainal, 35, dan suaminya, Raibafie Amdan, 40, serta Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, masing-masing berumur 40 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Nidarahayu didakwa melupuskan wang berjumlah RM20,650.86 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun simpanan bank CIMB Bank Berhad milik wanita itu di dua akaun bank iaitu CIMB Bank dan Maybank Islamic Berhad di CIMB Bank Berhad, Cawangan Taman Maluri, Jalan Perkasa 1, Maluri di sini antara 15 September 2022 hingga 3 Oktober 2022.

Wanita itu turut berdepan 13 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM184,985.46 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun simpanan bank sama miliknya ke dalam akaun bank milik empat syarikat serta lapan individu pada tempat sama antara 15 September 2022 hingga 2 Oktober 2022.

Raibafie dan Tengku Arif Bongsu pula masing-masing didakwa menerima wang RM30,350 dan RM25,000 daripada dua akaun bank milik Nidarahayu dan sebuah syarikat yang merupakan hasil aktiviti haram di dua lokasi CIMB Bank Berhad, Cawangan Jalan Bukit Bintang dan Taman Mutiara, Cheras di sini antara 29 September 2022 hingga 2 Oktober tahun sama.

Raibafie dan Tengku Arif Bongsu hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram. - Foto Bernama
Raibafie dan Tengku Arif Bongsu hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram. - Foto Bernama

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Rozaliana Zakaria tidak menawarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin kerana melibatkan kesalahan serius namun jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pendakwaan menawarkan jaminan RM100,000 terhadap Nidarahayu manakala RM50,000 terhadap Raibafie dan Tengku Arif Bongsu.

Artikel Berkaitan:

"Saya mohon mahkamah mengambil kira bahawa pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi ketiga-tiga tertuduh ini adalah berkaitan dengan satu lagi kes di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 di Mahkamah Tinggi di sini dan mereka berisiko untuk melarikan diri.

"Mangsa dalam kes penculikan itu seorang warga Palestin selain memohon mahkamah ambil kira fakta kejadian dan keterangan yang dikemukakan adalah berbeza dengan fakta atau keterangan dengan kes pengubahan wang haram ini," kata Rozaliana yang turut mengendalikan kes bersama TPR Nurul Wahida Jalaluddin.

Peguam Goh Kim Lian, mewakili Tengku Arif Bongsu memohon mahkamah memberikan jaminan terhadap anak guamnya kerana kes culik yang dipertuduhkan terhadapnya masih belum dibicarakan dan dibuktikan.

Pasangan suami isteri itu yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah kerana mempunyai tiga anak yang kini dijaga oleh ahli keluarga sejak mereka ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang selama setahun dua bulan.

Mahkamah membenarkan Nidarahayu diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin manakala Rabafie dan Tengku Arif Bongsu masing-masing diikat RM20,000 berserta seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan kesemua tertuduh perlu menyerahkan pasport dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

Mahkamah menetapkan 20 November ini untuk sebutan kes.

Ketiga-tiga tertuduh itu merupakan antara 13 individu yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini tahun lepas atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 11 individu didakwa culik lelaki Palestin

Warga Palestin diculik untuk nyahaktif perisian komputer

Polis berkas 18 individu culik lelaki warga Palestin