Warga Palestin diculik untuk nyahaktif perisian komputer

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mendapatkan ganjaran berupa rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit milik mangsa antara motif seorang lelaki warga Palestin diculik di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 28 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, seramai 23 warga tempatan dan seorang warga Indonesia berjaya ditahan dalam kes ini menerusi serbuan di beberapa lokasi berbeza sekitar Lembah Klang dan Melaka.

Menurutnya, kes yang disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 ini telah dirujuk kepada pendakwa raya.

"Pada Jumaat, seramai 11 orang tangkapan telah dituduh di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, manakala tujuh orang lagi dibebaskan.

"Seramai enam orang tangkapan baru pula masih dalam tempoh tahanan reman di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961 sehingga 27 Oktober ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azmi berkata, polis masih dalam usaha mengesan saki baki kumpulan ini.

"Polis Kuala Lumpur mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan saksi yang masih bebas.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran ataupun Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Faizal Abdullah di talian 012-4834439," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 28 September lalu, seorang lelaki warga Palestin menempuh detik mencemaskan apabila diculik dalam kejadian di Jalan Yap Kwan Seng di sini.

Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September.