11 individu didakwa culik lelaki Palestin

Seramai 11 individu termasuk seorang wanita diiringi dengan ketat oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah untuk dibawa ke di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
Seramai 11 individu termasuk seorang wanita diiringi dengan ketat oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah untuk dibawa ke di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit, bulan lalu.

Semua tertuduh itu ialah Dody Junaidi, 42, Mohamad Norakmal Hassan, 41, Edy Ko'im Said, 40, Faizull Hardey Mohd Isa, 40, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39, Mohamad Naziree Mustapha, 39.

Selain itu ialah Raibafie Amdan, 39, Nidarahayu Zainal, 34, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25, Mohamad Sufian Saly, 23, dan Muhammad Al Hatim Mohd fauzi, 21.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas satu pertuduhan dibacakan terhadap kesemua tertuduh yang diiringi dengan ketat oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama, menahan Omar Z M Albelbaisy Reeda, 31, untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat untuk membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini pada jam 10.40 malam, 28 September lalu.

Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi.

Artikel Berkaitan:

Tiada jaminan dibenarkan kerana kes itu termasuk dalam pertuduhan yang tidak boleh diikat jamin dan mahkamah menetapkan 15 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pada 5 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga Palestin berdepan detik mencemaskan apabila diculik dalam kejadian di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 28 September lalu.

Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September.